Mudah peroleh bahan mentah, Tongod lokasi paling sesuai bina kilang simen

IMG_20240503_170552.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Mudah mendapatkan bahan mentah antara faktor Tongod menjadi lokasi paling sesuai untuk pembinaan kilang simen baharu yang terbesar di Sabah.

Pengerusi Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd Datuk Masiung Banah berkata, semua bahan mentah seperti klinker, batu kapur, tanah liat, dan batu arang mudah diperoleh di Tongod.

Katanya, ada pihak yang mempersoalkan pembinaan kilang simen berkenaan di Tongod dan bukannya di kawasan bandar selain ada cadangan supaya bahan mentah dibawa dari hutan ke bandar.

“Saya ingat isunya sama sahaja, bila kita angkat bahan mentah ke Kota Kinabalu dan buat kilang simen, kosnya hampir sama.

“Jadi lebih baik kita buat kilang berada di lokasi yang betul-betul ada bahan mentah. Sebagai pemimpin yang ada di Kuamut, kilang simen ini bukan sahaja memberi impak ekonomi kepada Sabah.

“Tetapi di kawasan, kami turut menumpang sekurang-kurangnya kerajaan akan sediakan bekalan elektrik, air, dan jalan raya yang baik,” katanya selepas Majlis Aidilfitri Bersama Media pada khamis, kelmarin.

Beliau berkata, daripada RM1.2 bilion kos untuk membina kilang berkenaan, sekitar RM700 juta untuk membina kilang manakala yang lain untuk menyediakan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya.

Menurutnya, sudah tentu bagi kawasan kampung yang berdekatan, mereka akan mendapat tempias hasil dari pembinaan kilang berkenaan.

Masiung berkata, pembinaan kilang simen itu juga akan membantu kemiskinan kerana kilang itu akan mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan bermula dari kerja yang memerlukan kemahiran sehingga kerja-kerja buruh.

Sehubungan itu, pihaknya melihat keadaan itu akan memberi peluang sepenuhnya kepada masyarakat sekitar.

Pada masa sama katanya, Ketua Menteri turut menyarankan supaya pekerja yang diambil untuk kilang itu dalam kalangan anak-anak dari keluarga miskin tegar.

Menurutnya, ia juga sebagai langkah bukan sahaja untuk menoktahkan dan membasmi kemiskinan, tetapi turut memerdekakan kadar kemiskinan di Tongod melalui peluang pekerjaan yang kekal lama. – Penerangan Gagasan Rakyat

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top