Muda Sabah Sokong Hasrat Sertai PH, Masih Harap Kerjasama Warisan

amos-thein.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Muda Sabah menyokong penuh hasrat parti itu untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) selain berharap pembangkang di Sabah termasuk Warisan akan bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Muda Sabah Amos Thien berkata parti itu selama ini mempunyai hubungan baik dengan PH di Sabah, dan tiada masalah jika mereka menjadi sebahagian daripada komponen PH.

Katanya, beliau juga telah bertemu dengan Pengerusi PH Sabah Datuk Christina Liew bagi membincangkan kerjasama antara mereka di negeri ini.

“Kami sentiasa percaya dengan penyatuan antara semua pembangkang. Hanya ini cara untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN) dengan kleptokrat mereka.

“Muda Sabah memang ikhlas untuk bekerjasama dengan blok pembangkang. Keputusan ini juga telah dibincangkan sewaktu mesyuarat JKEP (jawatankuasa eksekutif pusat), JKEN (jawatankuasa eksekutif negeri), dan JK (jawatankuasa) parlimen,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Amos berharap kerjasama antara PH dengan Warisan akan tetap menjadi kenyataan walaupun parti itu dilihat kini lebih cenderung bergerak sendirian.

Katanya, Christina ketika ditemuinya sebelum ini memberitahu yang PH masih terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti pembangkang khususnya Warisan.

“Tapi seperti kita tahu, Warisan nampaknya seperti mahu bergerak sendirian…Muda sebenarnya tiada masalah dengan Warisan dan presiden (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) juga mempunyai hubungan baik dengan Datuk Seri Moh Shafie Apdal (presiden Warisan).

“Kami masih berharap Warisan akan bersama-sama dengan kami sebagai blok pembangkang untuk menghadapi PRU15,” katanya.

Dalam pada itu, Amos berkata parti itu akan bertanding dua atau tiga kerusi di Sabah pada PRU15 nanti. Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan kerusi mana yang bakal ditandingi kerana belum muktamad.

“Sekiranya Muda menjadi sebahagian PH, sudah pasti kita harus mengadakan perbincangan bersama berhubung kerusi-kerusi yang akan ditandingi,” katanya. – FMT

Foto: FB Parti MUDA Sabah

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top