MTUC Sabah Tolak Cadangan ‘Wakil Borneo’

MTUC.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Selain kemelut kepimpinan, satu lagi kontroversi mungkin tercetus dalam Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) apabila ia dikatakan akan mengurangkan wakil Sabah dan Sarawak dalam lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ia susulan selepas MTUC Sabah menggesa kesatuan itu mengekalkan kerusi bagi wakil Sabah dan Sarawak dalam lembaga berkenaan.

Setiausaha MTUC Sabah Catherine Jikunan berkata terdapat perbincangan bahawa kepimpinan di Kuala Lumpur akan menggabungkan jawatan diperuntukkan untuk setiap negeri dalam lembaga itu menjadi satu, yang dikenali sebagai “wakil Borneo”.

“Apa yang menjadi perhatian kami ialah jawatan itu akan diisi oleh wakil dari Semenanjung dan bukannya MTUC sama ada dari Sabah atau Sarawak,” kata Jikunan kepada FMT sambil menjelaskan kepimpinan pusat masih berdiam diri walaupun isu berkenaan sudah pun tersebar.

Jikunan berkata kewujudan “wakil Borneo” untuk mewakili dua negeri adalah sesuatu yang bukan dimahukan oleh cawangan kesatuan negeri.

Dia menjelaskan sistem wakil dalam Perkeso di antara badan-badan lain, adalah berdasarkan kerjasama tiga pihak iaitu majikan, pertubuhan, kesatuan sekerja atau kerajaan.

Katanya, ia sudah menjadi amalan dalam mana-mana kerjasama tiga pihak sejak pembentukan negara ini.

“Oleh yang demikian, kami mendesak kepimpinan MTUC di Semenanjung untuk menghormati wakil Sabah dan Sarawak dalam lembaga. Kami menentang sebarang idea untuk mewujudkan ‘wakil Borneo’ yang dipilih dari sana.

“Kami mendengar alasan kononnya Semenanjung adalah besar tetapi ia bukan isunya. Isunya sekarang ialah ini sudah menjadi amalan sejak dulu lagi (mempunyai wakil MTUC dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung dalam lembaga).”.

Jikunan berkata setiap negeri mempunyai ordinan buruhnya sendiri dan tidak seharusnya melampaui bidang kuasanya.

Dia berkata MTUC Sabah juga bimbang apabila tempoh penggal pengerusi negerinya Awang Ali Ahmad Raji sebagai wakil Sabah dalam lembaga Perkeso ditamatkan dua bulan lebih awal daripada tarikh sepatutnya pada 31 Julai ini.

Katanya, jawatan itu diisi secara sementara oleh seseorang dari Semenanjung sehingga tempoh penggal berkenaan tamat.

“Mengapa tamatkan penggalnya lebih awal? Ini bermakna Sabah tidak mempunyai kerusinya di sana. Kami bimbang ini akan menjadi petanda terhadap apa yang akan berlaku nanti.

“Kita tidak boleh membiarkan orang luar membawa suara kami. Kita mempunyai wakil majikan dan kerajaan dari Sabah dalam lembaga Perkeso tetapi tiada dari MTUC negeri, ini tidak adil,” katanya.

Dia berkata MTUC Sabah mencalonkan semula Awang untuk pelantikan selama dua tahun dan keputusan hanya diketahui pada 1 Ogos nanti.

Jikunan yang mewakili MTUC negeri dalam lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mendakwa terdapat langkah sama dilakukan dalam lembaga itu tetapi ia tidak menjadi kenyataan buat masa ini.

“Saya dilantik semula untuk berada dalam lembaga itu selepas memperjuangkan kerusi itu,” katanya.

Dia berkata kesatuan negeri sudah memaklumkan kepada kerajaan Sabah dan Kementerian Sumber Manusia mengenai isu wakil Perkeso itu tetapi masih belum menerima sebarang jawapan.

Jikunan berharap kerajaan akan menyuarakan perkara itu dengan menegaskan bahawa wakil harus dipilih dari Sabah dan Sarawak.

Selain Perkeso, katanya, kuota dalam Skim Insurans Pekerjaan yang dikendalikan Perkeso, majlis penasihat buruh kebangsaan dan majlis perundingan gaji negara juga sudah diambil oleh wakil Semenanjung. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top