KOTA KINABALU: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu mengadakan pertemuan dengan kerajaan Sabah bagi mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi bekas pekerja kilang kertas dan pulpa Sabah Forest Industries (SFI).
Kira-kira 30 bekas pekerja SFI mengadakan demonstrasi aman menggesa kerajaan negeri membantu mereka di hadapan Menara Kinabalu, di sini, pada kelmarin (Khamis).
Satu petisyen kemudiannya disampaikan kepada Pegawai Khas kepada Ketua Menteri, Arthur Sen kerana Ketua Menteri terlibat dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Setiausaha MTUC Sabah Engrit Liaw berkata beliau berharap kerajaan negeri peka dengan nasib yang dihadapi kumpulan yang mendakwa mereka terhutang gaji yang tidak dibayar.
Beliau berkata presiden MTUC Mohd Effendy Abdul Ghani juga pada 1 Ogos lalu meminta Perdana Menteri campur tangan.
Kesatuan Pekerja Industri Perkayuan Sabah (STIEU) juga cuba menghubungi kerajaan negeri berhubung isu itu tetapi usaha itu sia-sia.
“MTUC menggesa kerajaan memberi peluang kepada kesatuan pekerja untuk menjelaskan keadaan sebenar di lapangan dan mencari penyelesaian secara baik bersama-sama,” kata Liaw dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Semasa demonstrasi pada Khamis, jurucakap kumpulan Jeffridin Baudi berkata mereka merayu kepada kerajaan negeri supaya mengembalikan semula bekalan air dan elektrik ke kuarters pekerja SFI di Sipitang.
Jeffridin berkata bekalan air dan elektrik telah dipotong sejak 2 Mei lalu tetapi 674 daripada mereka terus tinggal di kuarters itu.
Beliau menambah bahawa sebuah sekolah rendah turut terjejas, sambil menambah bahawa elektrik diperlukan untuk mengendalikan pam loji rawatan air.
Jeffridin berkata, perintah mahkamah juga dikeluarkan pada 22 Jun lalu agar tindakan pengusiran ditangguhkan sehingga kes mahkamah membabitkan SFI selesai sepenuhnya.
Di samping itu, kerajaan juga diminta untuk memberi arahan untuk menghentikan aktiviti pembalakan yang sedang berlaku di tanah milik SFI kerana dikhuatiri ia akan mendatangkan masalah pada masa akan datang.
Sekiranya aset iaitu kayu balak milik SFI sudah tiada, sudah pasti pelabur tidak jadi datang untuk melabur dan keadaan ini menimbulkan kebimbangan.
Jelas beliau, kilang SFI berhenti beroperasi sejak 2017 dan kebanyakan mereka sukar mencari pekerjaan lain kerana ramai yang sudah berusia. Jadi, mereka hanya melakukan kerja-kerja kampung