MTUC gesa PM campur tangan isu pekerja SFI

Mohd-Effendy-Abdul-Ghani-MTUC.jpg

Mohd Effendy

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan dalam isu membabitkan pekerja Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI), terutama tunggakan gaji membabitkan lebih 1,000 pekerjanya yang masih belum selesai.

Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani (gambar), berkata kemelut yang berlarutan sejak April 2021 itu wajar mendapat perhatian kerajaan.

“MTUC Bahagian Sabah memaklumkan menerima aduan daripada Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Industri Perkayuan Sabah (STIEU), Martin Andong serta wakil penghuni perumahan SFI, Jeffrey Gopog membabitkan lebih 1,000 pekerja SFI yang masih belum ada jalan penyelesaian.

“Dalam satu perjumpaan diadakan bersama MTUC Sabah, Presiden STIEU serta wakil pekerja meminta bantuan MTUC untuk memanjangkan isu ini kepada Perdana Menteri yang mana amat menyedihkan, pekerja terdiri rakyat tempatan daripada pelbagai daerah di Sabah yang berkhidmat puluhan tahun di SFI,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada September tahun lalu, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah, Bernard Liew Chau Min menafikan dakwaan pekerja SFI dihalau kerajaan negeri Sabah dengan mengaitkan ia sebagai palsu dan tidak berasas.

Kemudian, pada Oktober 2022, kerajaan Sabah mengumumkan mengambil semula tanah milik SFI berkeluasan lebih 200,000 hektar dan mengekalkan pekerja syarikat itu dengan menyerap mereka di bawah skim kerajaan negeri dalam projek pembangunan hutan balak secara mapan selain menangani isu gaji tertunggak sebelum ini.

Mohd Effendy bagaimanapun berkata, sehingga kini, pihak majikan SFI gagal membayar tunggakan gaji bekas pekerjanya selama lima bulan mulai April hingga Ogos 2021.

Situasi itu jelasnya turut menyebabkan bekas pekerja SFI mengalami tekanan hidup dan masalah kewangan.

“Keadaan ini bertambah teruk lagi dengan pelaksanaan proses ‘lay off’ (pembuangan pekerja) tanpa gaji yang berpanjangan sejak September 2021 sehingga ke hari ini.

“Justeru, sempena kemerdekaan ke-66 tahun ini, MTUC berharap ada sinar bagi pekerja SFI untuk menikmati hidup seperti kaum pekerja yang lain di tanah air sendiri.

“MTUC turut menyeru kerajaan negeri supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan isu ini daripada berpanjangan selain menggesa dan merayu Perdana Menteri dapat membantu bagi membolehkan mereka dapat meneruskan kehidupan baharu,” katanya. –BHarian

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top