KOTA KINABALU: Pembinaan Kampus Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ranau yang telah siap sepenuhnya bakal meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti dalam kalangan pelajar, khususnya dari luar bandar negeri ini.
Kampus MRSM Ranau yang dibangunkan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dengan kerjasama kerajaan negeri Sabah dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu dijadualkan beroperasi bermula pada Mactahun hadapan.
Dengan keluasan lantai melebihi 26,000 meter persegi, kampus MRSM Ranau mempunyai kapasiti untuk menampung 450 orang pelajar.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, berkata inisiatif pihaknya menerusi pembinaan MRSM Ranau ini bakal dimanfaatkan sepenuhnya oleh 180 pelajar dari kalangan Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat kelak.
Beliau berkata, MRSM Ranau merangkumi kawasan seluas 26,000 meter persegi dan dilengkapi dengan blok akedemik, asrama pelajar dan residensi untuk guru.
Di samping itu, ia juga merupakan inisiatif PETRONAS untuk merangsang minat pelajar terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Kredit foto: FB Majlis Amanah Rakyat
Sekitar program Petronas Memperkasakan Ilmu: Majlis Penyerahan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ranau 2023 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) – FOTO PETRONAS
Selain itu, kemudahan pembelajaran dan pengajaran seperti pusat sumber, dewan serba guna, dewan makan, surau dan pusat kegiatan pelajar juga turut disediakan.
“Kesemua usaha ini pastinya tidak dapat dijayakan tanpa kerjasama erat di antara kerajaan negeri Sabah, MARA dan PETRONAS.
“Oleh itu menjadi harapan PETRONAS agar MRSM Ranau akan memberi pelajar di Sabah akses kepada pendidikan yang berkualiti dengan persekitaran pembelajaran yang kondusif.
“Kami yakin dalam kepercayaan kami bahawa belia Sabah akan terus mencipta kecemerlangan dalam bidang akademik ke arah melahirkan bakat tempatan yang berkemahiran untuk menyokong penyampaian matlamat sosial, ekonomi dan kelestarian di Sabah sejajar dengan matlamat Agenda Pembangunan Modal Insan Sabah-PETRONAS.
“Sebagai rakan kongsi tenaga dan penyelesaian yang progresif, PETRONAS amat berbesar hati untuk terus berganding bahu dengan kerajaan negeri dalam merealisasikan aspirasi pembangunan Sabah,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Petronas Memperkasakan Ilmu: Majlis Penyerahan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ranau 2023 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), baru-baru ini.
Upacara simbolik penyerahan replika kunci disaksikan Menteri Kewangan Sabah, Datuk Masidi Manjun yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan diiringi Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Simbolik penyerahan kunci diserahkan oleh Naib Presiden Kanan, Pelaksanaan Projek dan Teknologi, PETRONAS, Datuk Bacho Pilong kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong yang seterusnya menyerahkan replika itu kepada Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA, Razlan Samsuri bagi urusan pengoperasian fasiliti berkenaan.
Pada majlis sama, Asyraf ketika berucap berkata, pihak MARA berharap usaha pembangunan MRSM Ranau terbabit mengukuhkan lagi sistem pendidikan masyarakat luar bandar sekaligus menjadi penyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi negeri Sabah.
Katanya, MRSM Ranau yang baharu ini juga merupakan MRSM yang kelima di Sabah selain di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Semporna.
Sementara itu, Masidi ketika membacakan teks ucapan Ketua Menteri berkata, sumbangan PETRONAS dalam bidang pendidikan wajar diberi pengiktirafan dan penghargaan kerana sentiasa komited dalam menyumbang ke arah pembangunan modal insan di Sabah sehingga kini.
Beliau berharap hubungan antara PETRONAS dan kerajaan negeri Sabah terus utuh dalam aspek embangunan modal insan dN pendidikan, termasuk dari segi infrastruktur, pengisian akademik serta lmiah di negeri ini.- BHarian