PAPAR: Maktab Rendah Sains Mara (Kota Kinabalu) kini dikenali sebagai MRSM Tan Sri Musa Aman.
Menurut Hmetro perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang Juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra selepas sesi lawatan di MRSM Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Dalam ucapan itu Ahmad Zahid turut berkata kerajaan Persekutuan menerusi KKDW memperuntukkan sebanyak RM50 juta membabitkan projek menaik taraf dan membaik pulih Institusi Pendidikan Mara (IPMA) bagi tahun ini.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, sebanyak RM25 juta diperuntukkan kepada MRSM dan RM17 juta kepada Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM).
“Manakala RM8 juta diperuntukkan kepada Kolej Mara (KM) dan Kolej Profesional Mara (KPM),” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi.
Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri berkata, IPMA Sabah akan diperuntukkan anggaran sebanyak RM2.347 juta dan RM250,000 untuk MRSM Kota Kinabalu.
Katanya, peruntukan itu bagi membaik pulih perpaipan air bersih, naik taraf sistem pencegahan kebakaran dan penggantian perabot.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menzahirkan rasa bangga kerana Mara dan MRSM mempunyai standard pendidikan yang baik.
“Imej yang berprestij ini haruslah dipertahankan sebaiknya, termasuk dari segi infrastruktur dan pengisiannya,” katanya.