MPT, pemaju disaran cantikkan landskap taman perumahan di bandar

Dtk-Nizam-sumbangan.jpg

Nizam menyampaikan sumbangan kepada warga emas di taman perumahan itu.

Kongsi Bersama

TAWAU: Majlis Perbandaran Tawau (MPT) disaran supaya bekerjasama dengan pihak pemaju dalam usaha mencantikkan landskap di kawasan taman perumahan terutamanya yang berhampiran bandar.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, taman perumahan berhampiran bandar Tawau perlu kelihatan indah dan cantik supaya dapat menaikkan imej daerah ini.

Katanya, pelancong luar yang datang akan menilai sejauh mana tahap kebersihan dan landskap di daerah ini khususnya di kawasan bandar.

“Saya juga mencadangkan agar pihak MPT dapat menjalankan aktiviti gotong-royong setiap dua bulan untuk membersihkan kawasan persekitaran perumahan bersama penduduk dan masyarakat di daerah ini.

“Ia bagi memberi kesedaran kepada penduduk yang tinggal berhampiran bandar Tawau supaya sentiasa membudayakan amalan kebersihan dan mencantikkan kawasan persekitaran mereka,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan majlis Hari Raya Aidiladha di penempatan Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Titingan, di sini kelmarin.

Mengulas lanjut, katanya, penduduk PPR Taman Sri Titingan juga dinasihatkan agar tidak terlibat dengan gejala yang tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah.

Katanya, penduduk di sini juga diminta supaya sentiasa bekerjasama dengan pasukan keselamatan termasuklah memberikan maklumat berkaitan masalah jenayah di sekeliling mereka.

“Kita mahu memastikan penduduk di taman perumahan ini bebas daripada sebarang masalah jenayah sekali gus menjadi kawasan yang selamat dan aman,” katanya.

Sementara itu, Nizam turut memuji penduduk PPR Taman Sri Titingan kerana berjaya menganjurkan majlis yang sangat meriah ini.

“Ia membuktikan bahawa perpaduan penduduk di sini sangat kuat dan boleh bersatu melaksanakan program secara bersama.

“Saya berharap supaya penduduk di taman perumahan ini sentiasa menyokong agenda dan program yang dianjurkan oleh kerajaan bagi memastikan Sabah berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Dalam majlis itu, Nizam turut menyampaikan sumbangan kepada penduduk PPR Taman Sri Titingan yang tergolong dalam kategori asnaf.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top