SANDAKAN: Dalam keghairahan meraikan beberapa hari pertama Hari Raya Aidilfitri, para pengunjung Harbour Mall –satu-satunya pusat membeli belah di sini – jelas mengabaikan kewajipan sebagai warga yang bertanggung jawab.
Buktinya mereka meninggalkan sampah merata-merata di sekitar Harbour Squarem kawasan lapang di luar Harbour Mall, yang terletak di tepi laut.
Rakaman video yang dimuat naik di TikTok tular beberapa hari lalu menunjukkan kanak-kanak bermain di kawasan lapang yang dipenuhi sampah itu.
Pengguna media sosial mengulas video itu dengan menyifatkan mereka yang membuang sampah sebagai “tidak beradab dan kotor”, selain ada yang menyalahkan pendatang asing.
Mujurnya Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) mengambil langkah segera membersihkan kawasan itu dengan bantuan sukarelawan dan kakitangan Harbour Mall.
Susulan itu juga, Presiden MPS Benedict Asmat berkata pihaknya mempertimbangkan penguatkuasaan undang-undang kecil yang lebih ketat terhadap mereka yang membuang sampah merata-rata. Pada masa ini kadar denda yang dikenakan hanya RM30.
The Vibes melaporkan Benedict sebagai berkata, MPS telah menjalankan kempen kesedaran tentang kebersihan selama bertahun-tahun, dan penduduk harus bertanggungjawab menjaga kebersihan bandar ini.
“Rakyat perlu sedar bahawa kebersihan bandar bukan sahaja tanggungjawab pihak berkuasa tempatan tetapi juga penduduk,” katanya kepada The Vibes.