MP Sandakan Sifatkan Warisan Oportunis Yang Mahu Menjadi ‘Kingmaker’

vivian.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: DAP Sabah menyuarakan kesal terhadap bekas sekutu politiknya Parti Warisan yang mengedarkan risalah “berniat jahat” yang menuduh Pakatan Harapan (PH) menggadai prinsip dengan menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan kerajaan.

Ahli Parlimen Sandakan DAP Vivian Wong mendakwa Warisan mengedarkan risalah-risalah seperti itu di Sandakan, Kota Kinabalu, Tawau dan daerah-daerah lain yang menggambarkan tindakan DAP dan Pakatan Harapan (PH) tidak selari dengan pendirian Warisan untuk kekal sebagai pembangkang.

Katanya, risalah itu yang menyeru orang ramai menyokong Warisan untuk menjadi ‘kingmaker’ hanyalah satu dakyah yang bertujuan menjadikan Warisan sebagai ‘kuasa ketiga’ yang oportunis dalam senario politik Malaysia.

“Mereka (Warisan) boleh memilih untuk bersekutu dengan sesiapa sahaja yang menang dalam pilihan raya nanti, sama ada Barisan Nasional pimpinan Umno atau mana-mana parti lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

“Ini mungkin menjelaskan sebab mengapa Warisan tidak henti-henti menyerang DAP dan PH dan bukannya Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang memerintah sekarang, walaupun Warisan menggelarkan diri mereka sebagai parti pembangkang,” katanya.

Bagi tujuan ini, beliau menggesa Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjelaskan sama ada serangan berterusan yang tidak berasas terhadap DAP dan PH itu dilakukan oleh individu tertentu dalam parti untuk memulakan kempen fitnah dengan agenda tersembunyi atau sebaliknya.

Wong berkata Warisan tidak menyertai MOU yang ditandatangani antara Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan PH tahun lepas dan memutuskan hubungan dengan pakatan itu yang menjadi sekutunya semasa menawan kerajaan Sabah daripada BN pada PRU ke-14.

Beliau mengulangi pendirian partinya dalam menandatangani MOU dwipartisan dengan kerajaan adalah untuk memastikan kestabilan politik di Malaysia , sambil menangguhkan pembubaran Parlimen sehingga situasi Covid-19 bertambah baik.

“Isi kandungan MoU tersebut juga tidak pernah dirahsiakan. Ia boleh diakses di laman web Parlimen Malaysia oleh orang ramai.

“Apa yang penting, MoU ini juga menggesa kerajaan memperbaharui institusi semasa, termasuk memperkenalkan undang-undang anti-lompat parti, pendaftaran secara automatik bagi Undi18 dan perkara-perkara berkaitan MA63.

“Kesemua pindaan perlembagaan ini, terutamanya RUU Anti Lompat Parti, tidak akan dapat dilaksanakan tanpa MoU. Malah, undang-undang menentang parti lompat juga mungkin tidak akan terlintas dalam fikiran Perdana Menteri jika ia bukan daripada MoU tersebut,” katanya.

Vivian berkata, pemeteraian MoU itu dalam apa juga situasi sekalipun tidak menerjemahkan sokongan tanpa syarat kepada kerajaan Datuk Ismail Sabri.

“Penolakan usul kerajaan untuk melanjutkan undang-undang SOSMA oleh pembangkang pada Mac 2022 jelas menunjukkan komitmen DAP/ PH untuk menjadi pembangkang yang efektif dan berprinsip,” tegasnya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top