KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking mempersoalkan keprihatinan kerajaan Persekutuan dalam membantu mengatasi masalah banjir yang berlaku di Sabah terutama di kawasan Penampang.
Beliau berkata, dalam Belanjawan 2022, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.5 bilion untuk tujuan pembangunan luar bandar merangkumi projek jalan luar bandar, bekalan air dan elektrik dimana RM1.5 billion diperuntukkan bagi Sabah dan Sarawak.
Namun, berdasarkan pengalaman di Sabah, setiap kali jalan raya baharu dibina di kawasan berbukit maka, risiko tanah runtuh dan banjir lumpur akan meningkat di kawasan terlibat.
“Seperti negeri-negeri di Semenanjung, masalah banjir semakin teruk di Sabah disebabkan oleh pemanasan global, sungai yang semakin cetek, pembangunan cerun bukit yang tidak teratur serta pembukaan kawasan tadahan air hujan.
“Malah, jika dilihat sehingga hari ini, beberapa kampung di Penampang termasuk Kampung (Kg) Sugud, Kg. Maang, Kg. Kibabaig, Bundusan dan beberapa Kawasan di Upper Moyog dan Kepayan yang terletak di Penampang masih dilitupi lumpur akibat banjir yang berlaku pada 16 September lalu.
“Masalah banjir ini menyebabkan kerugian bernilai jutaan ringgit apabila rumah, kenderaan, perkakasan elektrik milik penduduk terjejas mengalami kerosakan teruk dan ini termasuklah golongan perniaga.
“Persoalannya di sini, mengapa tiada peruntukan khas daripada kerajaan persekutuan untuk melakukan kerja-kerja mengorek dan mendalamkan sungai serta menggantikan parit-parit lama dengan parit baharu,” katanya semasa perbahasan Bajet 2022 di persidangan Parlimen pada Isnin.
Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) ini berkata, beliau agak kecewa kerana setiap kali jalan raya baharu dibina, tiada peruntukan disediakan untuk membina perparitan dan mengukuhkan cerun bukit di sepanjang laluan seperti di Lebuhraya Pan Borneo ini.
Beliau berkata, ketiadaan sistem perparitan yang baik menyebabkan kawasan di sepanjang laluan Lebuhraya Pan Borneo di Penampang terjejas akibat banjir.
Darell berkata, sepatutnya kerajaan memberikan peruntukan berasingan bagi pembinaan sistem perparitan apabila projek-projek jalan raya baharu dibina di kawasan luar bandar untuk mengukuhkan cerun-cerun bukit bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh.