Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini (Khamis).
Perkara itu disahkan peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali.
“Dia diminta (oleh SPRM) untuk hadir (ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur) esok,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh Malaysiakini.
Muhammad Rafique berkata dia setakat ini tidak tahu pertuduhan yang akan dihadapkan kepada anak guamnya.
Bagaimanapun dia mendedahkan pertuduhan melibatkan Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.
Seksyen itu berkenaan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan, sama ada “bagi dirinya sendiri, saudara atau sekutunya”.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan SPRM semalam, suruhanjaya itu akan mendakwa seorang ahli parlimen di mahkamah tersebut pada jam sembilan pagi Khamis.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyatakan nama ahli parlimen itu mahupun peruntukan undang-undang yang terlibat.
Rozman menjadi ahli parlimen Labuan sejak 2013. Dia pada mulanya mewakili Umno sebelum menyertai Warisan selepas PRU14.