KOTA KINABALU: Cadangan membuka cawangan Bank Rakyat di pekan Pitas adalah antara perkara yang dibincangkan oleh Ahli Parlimen Kudat Datuk Verdon Bahanda dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia Datuk Ewon Benedick.
Menurut Verdon, keperluan tersebut sangat mustahak kerana pekan Pitas tidak mempunyai sebarang perkhidmatan bank sehingga hari ini sekali gus menyukarkan penduduk di daerah itu yang terpaksa berurusan di pekan Kota Marudu untuk mendapatkan perkhidmatan bank.
Dalam hal itu, Ewon menyatakan kesediaan mempertimbangkan keperluan tersebut dengan mengambil kira ketersediaan bangunan yang bersesuaian untuk digunakan dan juga capaian perkhidmatan oleh Bank Rakyat.
Bank Rakyat adalah satu daripada 10 agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia.
Perkara lain yang dibangkitkan oleh Verdon ialah keperluan menaiktaraf kawasan tamu penjaja dan peniaga kecil di pekan Kanibongan, Pitas, Kudat dan Banggi serta pembangunan keusahawanan dan koperasi di parlimen Kudat.
Keperluan-keperluan tersebut dibangkitkan oleh Verdon semasa pertemuan beliau dengan Ewon di Kota Kinabalu lewat petang semalam.
Dalam pertemuan tersebut juga, Ewon mengulangi komitmen bahawa kementerian yang beliau terajui dan agensi-agensi di bawahnya memberi fokus tambahan kepada pembangunan usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil terutamanya di daerah-daerah luar bandar di seluruh negara, khususnya di Sabah dan Sarawak.
Sumber: Nabalu News