TAWAU: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy memberi jaminan tiada sebarang perpindahan ataupun perobohan rumah membabitkan 600 penduduk Kg Pasir Putih Empang, dekat sini, seperti khabar angin yang tersebar.
Menurutnya, tindakan Yayasan Sabah (YS) meletakkan papan tanda di kawasan tersebut pada awal tahun ini adalah bertujuan untuk menghalang sebarang pembinaan struktur baharu di kawasan tanah milik mereka.
“Sebenarnya mereka (YS) bimbang dengan isu pencerobohan ke atas tanah YS dan tidak mahu ada lagi struktur atau rumah baharu dibina di kawasan itu.
“Kita sudah merujuk kepada YS dan mereka memaklumkan bahawa struktur yang sudah terbina, kekal dan penduduk boleh tinggal di situ selagi tanah itu tidak digunakan,” katanya lagi.
Andi berkata, beliau difahamkan kira-kira 100 rumah dibina atas tanah milik YS di kawasan itu sejak 70an lagi dan kekal sehingga kini.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan berkata, pihaknya juga kini dalam usaha untuk memohon agar perkampungan itu digazetkan sebagai penempatan sah supaya penduduknya dapat hidup aman dan tenteram.
Andi ditemui ketika Majlis Semarak Kasih Ramadan di Kg Pasir Putih Empang, di sini, pada Isnin lepas. Hadir sama, Ketua Penyelaras Komuniti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM) Sabah, Mohd Khairi Ismail.
Menyentuh majlis itu pula, beliau berkata program itu diadakan Pusat Khidmat Parlimen Kalabakan dengan kerjasama YaPIEM sebagai salah satu pengisian Kembara Parlimen Kalabakan dan turut menyampaikan sumbangan kepada 100 asnaf terpilih di kampung tersebut.
“Kita menyambut baik usaha YaPIEM yang menyahut seruan agar mereka lebih proaktif dalam membantu golongan memerlukan,”katanya.
Justeru, beliau berharap lebih banyak penyertaan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan serta swasta dapat bersama-sama menyantuni golongan memerlukan di kawasannya.
Katanya, pihaknya akan menjadikan program tersebut sebagai aktiviti tahunan yang wajib dilaksanakan menerusi kerjasama dengan pelbagai pihak agar lebih ramai dapat dibantu.
Mengulas lanjut, Andi berkata, pihaknya di Pusat Khidmat Parlimen Kalabakan sudah menjelajah ke 36 masjid dan surau di kawasan Kalabakan sempena program tersebut, setakat ini. – Harian Ekspress