KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan tidak akan membuat perjanjian atau memorandum persefahaman (MoU) baharu dengan pembangkang.
Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tumpuan kedua-dua pihak kini adalah untuk meneruskan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik sehingga Parlimen dibubarkan.
Katanya, keputusan itu dicapai berdasarkan pertemuan dengan pemimpin utama parti pembangkang sebelum ini.
“MoU itu hanya tamat apabila Parlimen dibubarkan. Yang penting bukan tentang perjanjian bertulis batal atau tidak, sebaliknya persefahaman kerajaan-pembangkang untuk kepentingan rakyat.
“Setakat ini kerjasama bertulis tiada lagi kerana kita sama-sama bersetuju tidak perlu ada perjanjian atau persefahaman baharu antara kerajaan dan pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC), di sini pada Rabu.
Ismail Sabri berkata, MoU antara kerajaan dan pembangkang ketika ini merangkumi beberapa isu termasuk Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di samping pendanaan politik.
Dalam perkembangan lain, beliau memberi bayangan Parlimen akan dibubarkan sama ada tahun ini atau pun tahun hadapan.
Katanya, keputusan untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) itu, bagaimanapun bergantung kepada masa yang bersesuaian.
“Bubar Parlimen boleh dibuat bila-bila asalkan sudah sampai waktu yang saya anggap bersesuaian, maka saya akan bubar, sama ada tahun ini atau tahun depan,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO tetap dengan pendirian agar MoU yang ditandatangani di antara kerajaan dengan pembangkang tidak disambung.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, kerajaan harus mengambil kira pendirian tersebut.
“Kita sudah buat keputusan supaya MoU itu tidak perlu disambung. Jadi terserah kepada kerajaan untuk mempertimbangkannya,” katanya di sini kelmarin.
Menjelaskan lanjut, Mohamad berkata, Perdana Menteri perlu akur terhadap keputusan parti berhubung tempoh lanjutan MoU itu.
“Perdana Menteri adalah Naib Presiden UMNO. Beliau perlulah akur kepada keputusan parti,” kata beliau. – UTUSAN