MoU PH Dengan GRS: PBS Belum Terima Sebarang Maklumat

jahid-jahim.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim berkata, partinya belum menerima maklumat berhubung cadangan Pakatan Harapan (PH) Sabah menjalin kerjasama dwipartisan dengan kerajaan negeri.

Katanya, perkara itu hanya akan dibincang dan diputuskan selepas dimaklumkan sama ada oleh Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor atau pihak yang ingin menjalin kerjasama.

“Bagi PBS, dengan izin Presiden ( DSP Dr. Maximus Ongkili), kita belum menerima apa-apa maklumat, malahan Pengerusi GRS (Hajiji) juga belum memaklumkan apa-apa kepada presiden atau pimpinan parti mengenai cadangan sesiapa untuk berkolaborasi, seperti apa yang telah berlaku di Semenanjung (kerjasama kerajaan dan pembangkang).

“Bagaimanapun, kita sedang melihat perkembangan seterusnya dan sekiranya ada gerakan ke arah ini.

“Pimpinan parti akan membuat perbincangan dan selepas itu biarlah presiden membawa pendirian parti itu dalam pertemuan antara parti komponen dalam GRS,” katanya selepas merasmikan kempen derma darah di Centre Point Sabah, di sini pada Ahad.

Sebelum ini, PH Sabah dilaporkan berkata, semangat dwipartisan seperti yang dimulakan di peringkat kerajaan persekutuan boleh dipanjangkan ke peringkat kerajaan negeri ini.

Dalam kenyataan bersama hari ini, gabungan berkeaan berkata, kerjasama itu akan membolehkan semua pihak, sama ada kerajaan atau pembangkang fokus memulih serta membangunkan semula Sabah.

Bulan lalu, kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan PH memeterai memorandum persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang merangkumi pembaharuan Parlimen serta transformasi kerajaan.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top