MoU Peringkat Negeri Tak ‘Makan Tuan’ – PH Sabah

Frankie-poon.jpg

Frankie Poon (Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sabah tidak percaya bahawa cadangan Agenda Reformasi Sabah (SRA) gabungan itu kepada kerajaan negeri akan “makan tuan”.

Ketua DAP Sabah, Frankie Poon, berkata, SRA tidak seperti memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara PH daengan kerajaan di peringkat persekutuan.

Poon, yang juga ADUN Tanjong Papat, berkata, SRA itu akan mengenal pasti dan menangani isu setempat serta isu kepentingan bersama lain, antaranya menuntut hak negeri daripada kerajaan persekutuan seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Rakyat Sabah sudah matang dalam politik dan mereka memahami sifat perkara yang perlu dilakukan,” katanya kepada FMT.

“Kita tidak perlu mengikut semua yang dilakukan di peringkat persekutuan, tetapi kita melakukan apa yang rakyat kita mahu. Perincian (dalam SRA) bukanlah dangkal tetapi substantif.

“Ia sebenarnya tidak baik untuk kita tetapi sangat bererti untuk semua rakyat Sabah dan untuk masa depan negeri ini.”

Penganalisis berhujah, selepas PH kalah teruk pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka setelah menandatangani MoU dengan kerajaan persekutuan, ia mungkin mengalami satu lagi langkah ke belakang apabila Sabah mencadangkan SRA kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ini berlaku selepas dakwaan Naib Presiden Warisan Junz Wong bahawa prestasi buruk PH adalah bukti bahawa rakyat tidak berpuas hati dengan keputusan pembangkang menandatangani MoU dengan kerajaan.

PH Sabah membentangkan tujuh perkara SRA kepada Ketua Menteri Hajiji Noor pada 15 Nov. Antara lain, ia mencadangkan beberapa pembaharuan politik dan pentadbiran, mengejar hak negeri di bawah MA63 dan pelan pemulihan ekonomi pasca Covid-19.

Gabungan itu berkata, ia mengalu-alukan jaminan Hajiji bahawa beliau akan membincangkan perjanjian itu dengan pihak-pihak dalam kerajaan untuk mendapatkan kata sepakat.

Pemerhati berkata, intipati SRA, walaupun diperhalusi untuk memenuhi keperluan dan isu negeri, adalah sama dengan MoU persekutuan, iaitu mencari titik persamaan untuk bekerjasama dan seterusnya mewujudkan kestabilan politik.

Poon bagaimanapun, menegaskan tiada apa-apa lagi yang dipersetujui dan ditandatangani antara PH Sabah dan GRS setakat SRA berkenaan.

“Anda boleh melihat bahawa bahan dan kerja yang kami lakukan adalah berbeza. Akhirnya kami hanya mahu mewujudkan kestabilan supaya semua orang fokus bekerja untuk rakyat,” katanya. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top