KOTA KINABALU: Perjanjian antara Parti Bersatu Sabah (PBS) dan STAR Sabah untuk bekerjasama bagi kerusi bukan Islam tidak menimbulkan ancaman kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau parti komponennya yang lain.
Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, sebaliknya langkah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) itu hanya akan memperkukuhkan GRS pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Beliau berkata PBS dan STAR kini mempunyai sejumlah 13 kerusi penyandang yang tidak boleh dirunding dan mereka akan menghormati kedudukan penyandang Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di kerusi Bumiputera bukan Islam dalam sebarang rundingan.
“Secara asasnya, 13 kerusi yang kita ada pada masa ini dianggap tidak boleh dirunding, selebihnya kita akan bincangkan,” katanya lagi sebagaimana dilaporkan The Star.
“Saya ingin menegaskan bahawa matlamat kami sebenarnya adalah untuk kemenangan GRS secara keseluruhan.
“Kami tidak memberi ancaman kepada mana-mana parti komponen GRS terutamanya Gagasan Rakyat di (kerusi anak negeri bukan Islam),” katanya kepada pemberita selepas menandatangani MoU dengan STAR semalam.
Sementara itu Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, pengerusi GRS Datuk Hajiji Noor menyokong penuh inisiatif PBS dan STAR kerana ia baik untuk gabungan itu.
“Ia akan dibincangkan dalam masa yang sepatutnya di bawah majlis bersama,” Kitingan menjawab apabila ditanya berapa banyak daripada 23 kerusi Bumiputera bukan Islam yang mereka intai.
Dr Gunsalam berkata, MoU itu adalah untuk mengukuhkan kerjasama politik dan kerjasama antara Sabah STAR dan PBS.
“Kami juga menyasarkan untuk bekerjasama dalam menyelesaikan isu dan kepentingan rakyat Sabah,” katanya sambil menambah pihak berkenaan berharap dapat bekerjasama dari peringkat atasan hingga ke akar umbi.
“Ini (MoU) baru permulaan. Apabila kita turun padang, akan ada lagi…apabila kita tubuhkan majlis bersama maka kita boleh ada lebih banyak langkah untuk mengukuhkan hubungan,” katanya.
Kedua-dua pemimpin berkata, soal penggabungan kedua-dua parti bukanlah perkara mendesak kerana mereka perlu mengusahakan kerjasama dan perpaduan terlebih dahulu di semua peringkat.
Tumpuan utama mereka adalah untuk mendorong agenda negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 dan isu-isu lain berkaitan Sabah.