MoU PBS, STAR ‘jalan terakhir’ raih sokongan, tidak jejas kekuatan KDM

Oswald-Aisat-Igau-.jpg

Dr Oswald Aisat Igau

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Jalinan kerjasama secara rasmi yang dimeterai antara Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Rakyat Sabah (STAR) tidak menjejaskan kekuatan parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Naib Presiden KDM, Dr Oswald Aisat Igau berkata, walaupun parti yang dipimpin Datuk Peter Anthony itu dianggap kerdil, namun mereka mempunyai sokongan kuat di peringkat akar umbi.

Katanya, memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara PBS dan STAR juga dilihat seperti ‘jalan terakhir’ mereka untuk meraih sokongan berikutan kemerosotan yang dialami sejak beberapa pilihan raya lalu.

“Tidak mungkin (kekuatan KDM terjejas), apa yang saya lihat, mereka (PBS dan STAR) yang terdesak (untuk meraih sokongan pengundi), apa relevannya mereka tandatangani MoU sedangkan mereka memang parti ‘adik-beradik’, memang sedia bekerjasama dalam GRS (Gabungan Rakyat Sabah)…Apa sebenarnya yang mereka mahu tunjukkan? Macam tiada jalan lain sudah.

“PBS dan STAR mungkin sudah sedar yang mereka semakin ditolak oleh pengundi di peringkat akar umbi yang mahukan pemimpin-pemimpin muda.

“Mereka juga mungkin sudah lupa yang pemimpin-pemimpin mereka pernah ditumbangkan khususnya PBS di mana Naib Presiden mereka ketika itu pernah ditewaskan Presiden KDM di Melalap dan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Presiden mereka tumbang di tangan Timbalan Presiden KDM (Datuk Wetrom Bahanda),” katanya.

Oswald berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada jalinan kerjasama secara rasmi antara PBS dan STAR akan menjejaskan kekuatan KDM.

Terdahulu, PBS dan STAR menandatangani satu MoU bagi mengukuhkan kerjasama politik antara kedua-dua parti menjelang PRN17 Sabah.

Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, MoU ini adalah satu persefahaman untuk bekerjasama selepas menyedari kedua-dua parti mempunyai aspirasi yang sama.

Sementara itu, Timbalan Presiden PBS merangkap pemangku Presiden, Datuk Seri Dr Joachim Gunasalam berkata, secara asasnya MoU itu adalah untuk mengukuhkan kolaborasi politik antara kedua-dua parti.

Dalam perkembangan lain, Oswald berkata parti itu sudah bersiap bersedia untuk menghadapi PRN17, termasuk jika ianya diadakan lebih awal.

Katanya, KDM sudah pastinya mengintai kerusi-kerusi di kawasan majoriti Kadazan, Dusun dan Murut (KDM).

“Ya kami sudah bersedia, jentera kami sudah lama masuk ke kawasan-kawasan yang kami akan tanding, di mana kawasan itu, kami akan umumkan bila tiba masanya nanti,” katanya. – Jesselton Times

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top