SEMPORNA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersedia menawarkan geran bagi membangun teknologi sistem pemprosesan serta rawatan air laut melalui Projek Pembangunan Sistem Kuasa Hibrid dan Penyahgaraman.
Timbalan Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, projek berkenaan yang berjaya dilaksana di Pulau Sebangkat adalah yang pertama seumpamanya dijalankan.
Katanya, ia adalah hasil kolaborasi Institusi Piawaian Dan Penyelidikan Perindustrian (SIRIM) dengan MOSTI.
“Projek teknologi penyahgaraman berkenaan dilihat memberi banyak impak besar kepada komuniti setempat yang sebelum ini tidak mempunyai akses kepada air bersih.
“Kita juga terbuka untuk menerima cadangan yang lain supaya MOSTI boleh membantu daripada segi pendanaan, geran atau penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya.
Beliau berkata ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Hybrid Power System and Desalination bagi Menghasilkan Air Bersih kepada Komuniti Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Semporna di Pulau Sebangkat, di sini pada Ahad.
Katanya, melalui sistem itu penduduk pulau berkenaan boleh mendapatkan sumber air bersih dan tahap kesihatan pun dapat ditingkatkan.
“Kita juga yakin ia akan memberi kesan ekonomi sampingan apabila penduduk mula melakukan projek penternakan rumpai laut dan peningkatan industri pelancongan.
“Melalui projek ini kita dapat membantu meringankan beban masyarakat dan juga boleh menarik pelabur asing,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Kumpulan SIRIM Berhad, Datuk Khairol Anuar Mohamad Tawi berkata, pelaksanaan sistem teknologi penyahgaraman ini sesuai digunakan di pulau ataupun kawasan pendalaman yang tiada bekalan air bersih dan elektrik.
Katanya, ia berasaskan sumber tenaga diperbaharui yang bercirikan ‘stand-alone’, tanpa bergantung kepada sumber tenaga daripada grid dan boleh beroperasi menggunakan sistem bekalan tenaga sedia ada.
“Sistem berasaskan teknologi hijau itu dapat mengurangkan kesan gas karbon dioksida (CO2) dan seterusnya mengurangkan pemanasan global.
“Selain itu, ia dapat dijadikan alternatif sumber air mentah negara pada masa depan bagi membantu menangani krisis bekalan air bersih dalam jangka panjang,” katanya. – Utusan Borneo