MOSTI akan pastikan Malaysia tidak ketandusan modal insan dalam STI

arthur-2.jpg

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup bergambar bersama tetamu yang hadir pada Majlis Perasmian Kembara Sains Borneo Siri 2 Tahun 2023 di Dewan Semai Bakti, Felda Gugusan Umas, Kalabakan.

Kongsi Bersama

KALABAKAN: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memastikan Malaysia tidak ketandusan ‘talent pool’ atau modal insan dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi bagi menampung permintaan dalam industri berasaskan teknologi.

Berucap di Majlis Perasmian Kembara Sains Borneo Siri Dua Tahun 2023 di Kalabakan, Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, peluang-peluang pekerjaan dalam bidang STI mampu melonjakkan pendapatan individu terutamanya anak-anak muda di luar bandar dengan menawarkan pelbagai kerjaya yang luas sejajar dengan perkembangan teknologi yang pesat.

“Peluang-peluang pekerjaan dalam bidang STI mampu melonjakkan pendapatan individu dengan menawarkan gaji yang lumayan. Bagi membolehkan anak-anak muda kita merebut peluang-peluang ekonomi dalam bidang STI, ianya bermula daripada penglibatan aktif para pelajar kita dalam bidang STEM,” kata beliau.

Katanya lagi, Kerajaan telah berjaya menarik perhatian syarikat-syarikat gergasi teknologi luar seperti Infineon Technologies AG, Tesla, AWS dan banyak lagi untuk melabur di Malaysia, yang secara tidak langsung membawa peluang pekerjaan dalam bidang STI untuk diisi warga tempatan.

 

Arthur bersama Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryadi (baju gelap) dan Pengarah Pusat Sains Negara, Mismah Jimbun (dua dari kiri) beramah mesra bersama pengunjung cilik ke Majlis Perasmian Kembara Sains Borneo Siri 2 Tahun 2023 di Dewan Semai Bakti, Felda Gugusan Umas, Kalabakan.

Justeru, bagi memastikan usaha tersebut tercapai, MOSTI melalui Pusat Sains Negara (PSN) mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan Kembara Sains Borneo (KSB) Siri 2 yang merupakan inisiatif di bawah payung besar Minggu Sains Negara (MSN). KSB merupakan program yang julung kalinya diadakan di Sabah dan usaha ini merupakan inisiatif untuk merapatkan jurang pembudayaan sains dalam kalangan anak-anak muda sekali gus meningkatkan populariti dalam bidang STI.

Katanya, melalui KSB Siri 2 ini, PSN membawakan pengalaman sesebuah Pusat Sains kepada komuniti luar bandar dengan menyediakan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan serta membawa bahan-bahan pameran interaktif khas dari Kuala Lumpur.

“Parlimen Kalabakan merupakan lokasi kedua dalam Kembara Sains Borneo Siri 2 yang mana pada 15 September yang lalu PSN telah menjelajah Parlimen Kimanis dan berjaya menarik seramai 10,212 pengunjung di sepanjang 3 hari berlangsungnya KSB Siri 2 tersebut.”

Melihat kepada sambutan yang meriah di Parlimen Kimanis dan Kalabakan, MOSTI percaya sasaran yang ditetapkan pada awal penganjuran program dengan kehadiran seramai 20 ribu pengunjung akan dapat dicapai di penghujung KSB Siri 2 yang akan berlangsung di Parlimen Pensiangan hujung bulan ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua rakan-rakan strategik yang telah memberikan kerjasama dan sokongan bagi menjayakan program Kembara Sains Borneo Siri 2.

Ketika menyampaikan ucapan aluan, beliau menyatakan hampir 2,900 pelajar telah mengikuti 4 program sampingan yang dilaksanakan pada 20 hingga 21 September di tiga buah sekolah di Parlimen Kalabakan iaitu SK Kukusan, SK Merotai Besar dan SMK Merotai Besar.

KSB Siri 2 berlangsung di tiga lokasi terpilih di Sabah iaitu Kimanis (15-17 September 2023), Kalabakan (22-24 September 2023) dan Pensiangan (29 September – 1 Oktober 2023) dan penyertaan dan kemasukan adalah percuma kepada semua.

Program Kembara Sains Borneo Siri 2 adalah anjuran Pusat Sains Negara sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan sokongan padu oleh Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pejabat Daerah dan rakan-rakan strategik yang lain.

 

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top