KOTA KINABALU: Dua wanita warga asing dikenakan hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas mengaku bersalah memberikan maklumat palsu ketika mengemukakan permohonan menggantikan kad pengenalan dengan menggunakan maklumat kad pengenalan bukan milik mereka.
Murada Rabung, 32, yang memegang kad IMM13 membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles.
Manakala Nor Hasna Paisal, 19, yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri, turut membuat pengakuan sama di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun.
Mengikut pertuduhan, Murada didakwa memberikan maklumat palsu ketika membuat permohonan mengantikan kad pengenalan yang hilang atas nama Nazira binti Eranza di Bahagian Kad Pengenalan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kota Kinabalu pada 21 Julai lalu.
Manakala Nor Hasna didakwa memberikan maklumat palsu ketika membuat permohonan menggantikan kad pengenalan atas nama Erah binti Eranza di Bahagian Kad Pengenalan, JPN Kota Kinabalu, pada 22 Julai lalu.
Kedua-dua tertuduh ditangkap oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Sabah.
Mereka didakwa di bawah perkara 25 (1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990.
Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Kedua-dua tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 24 bulan dari tarikh ditangkap.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Pendakwaan dikendalikan Mohd Naser Mohd Nadzeri manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.