KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi mengumumkan keluar daripada Bersatu dan menjadi wakil rakyat bebas yang mesra kerajaan persekutuan serta negeri.
Mohamaddin yang juga ADUN Segama berkata, beliau keluar Bersatu kerana tidak diberi sebarang peranan untuk memperkukuhkan parti itu seperti dijanjikan.
“Saya telah dijanjikan peranan untuk memimpin parti di kawasan saya di Parlimen Lahad Datu dan Dewan Undangan Negeri Segama, namun setelah lebih enam bulan, tiada sebarang peranan yang diberikan,” katanya dalam sidang media.
Beliau turut mendakwa diri dan penyokongnya diketepikan jentera oleh parti di Lahad Datu dan Segama dengan Bersatu mengadakan aktiviti tanpa pengetahuannya.
“Dari awal lagi, penyokong saya berminat menyertai Bersatu melalui bahagian ini, tetapi mereka menolaknya.”
Bekas menteri pelancongan itu meninggalkan Warisan pada Oktober 2021, sebelum menyertai Bersatu pada 26 Nov lalu.
Ditanya sama ada keputusannya meninggalkan Bersatu dan Warisan akan memberi persepsi buruk terhadap dirinya, Mohamaddin berkata, beliau tidak bimbang dengan perkara itu.
“Banyak yang panggil katak, tapi kalau bertahan di situ, duduk sahaja buat apa, bukan mahu tunggu bertelur, kita sepatutnya bekerja untuk rakyat.
“Saya tidak bimbang dengan itu (persepsi buruk rakyat terhadap dirinya). Panggil katak, kataklah, panggil monyet, monyetlah, saya tidak kisah.”
Beliau secara sinis turut mengucapkan “tahniah” kepada Ketua Bersatu Lahad Datu, Abdul Hakim Gulam Hassan yang “berlagak seolah-olah Ahli Parlimen Lahad Datu dan ADUN Segama”. – FMT