Mohammad Nafi ‘Dibeli’ Untuk Tinggalkan Warisan

mohammadin.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohmmaddin Ketapi menafikan beliau ‘dibeli’ untuk meninggalkan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama itu menegaskan bahawa beliau keluar daripada Warisan kerana mahu memajukan kawasannya.

“Saya kurang percaya ada ‘beli membeli’ kerana saya pun sendiri tidak dibeli. Saya sebenarnya mengisytiharkan keluar dari Warisan bukan kerana dibeli.

“Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama ini kasihan. DUN baharu yang tiada apa-apa.

“Sebenarnya, apabila penyokong saya bertanya, bila ada pejabat daerah kecil di Segama sedangkan banyak kilang serta ladang sawit di kawasan ini yang menjadi sumber pendapatan tinggi tetapi saya tidak boleh jawab,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas jika beliau ditawarkan sesuatu untuk keluar daripada Warisan dan menyokong kerajaan.

Sementara itu, ADUN Klias, Datuk Isnin Aliasnih yang turut hadir pada sidang akhbar itu menyatakan bahawa dakwaan itu sebagai retorik politik.

“Saya fikir itu hanya retorik atau cerita kosong. Kalau betul ada bukti, boleh bawa ke muka pengadilan termasuk laporan polis,” katanya.

Beliau dalam pada itu, kekal dengan kenyataannya sebelum ini bahawa ada lagi ADUN yang bakal meninggalkan parti itu dan menyokong kerajaan ketika ini.

“Saya jangka, seperti yang saya katakan dulu ada ramai, cuma tunggu masa saja lagi.

“Kalau rasa kawasan mereka tidak dibela dengan parti dan pemimpin mereka, saya rasa mereka perlu ikut kerajaan. Mari bangunkan (kawasan), jangan kita ketinggalan,” katanya.

Ditanya kehadiran beliau dalam dua sidang akhbar ADUN keluar daripada Warisan, Isnin yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Beaufort itu menjelaskan bahawa beliau hadir untuk menyokong.

“Tidak, saya bukan ‘broker’. Saya datang sebagai sahabat untuk memberi sokongan moral,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top