Mohamaddin Ketapi Kekal ADUN Segama – Speaker DUN Sabah

mohammadin.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kedudukan Datuk Mohamaddin Ketapi sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama adalah kekal, kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya.

Katanya, kerusi DUN Segama tidak akan dikosongkan walaupun Mohamaddin bukan lagi ahli Parti Warisan Sabah (WARISAN) selepas Ahli Parlimen Lahad Datu itu mengumumkan keluar parti terbabit pada 30 Oktober lalu.

“Pada 30 Oktober lalu, saya menerima satu e-mel daripada beliau (Mohamaddin), iaitu surat dan dokumen yang membatalkan segala aku janji yang beliau tandatangani dengan WARISAN sebelum PRN (Pilihan Raya Negeri) lalu. Ketika itu saya berada di Kuala Lumpur.

“Pada 1 November, pejabat saya menerima satu surat dari sebuah firma guaman yang mengaku bertindak bagi pihak Mohamaddin. Surat itu menyatakan mengenai peletakan jawatan beliau, tetapi keesokannya, pejabat saya menerima surat dan akuan berkanun daripada Mohamaddin yang menafikan ada menandatangani surat peletakan jawatan dikemukakan pada 30 Oktober.

“Beliau juga menafikan telah melantik firma guaman bagi pihaknya,” katanya pada sidang media di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Kadzim memaklumkan, beliau sendiri telah bertemu Mohamaddin untuk menemu bual ADUN Segama itu berkaitan perkara terbabit, semalam.

“Beliau sekali lagi menegaskan tidak pernah meletak jawatan (ADUN) dan tiada sebab untuk meletak jawatan. Saya juga terima surat perakuan beliau yang mengatakan tidak pernah meletak jawatan. Saya juga ingin tegaskan, surat peletakan jawatan tanpa tarikh, jika mengikut undang-undang adalah tidak sah, jadi Mohamaddin kekal ADUN Segama,” katanya.

Mohamaddin sebelum ini mengumumkan menjadi ADUN Bebas menyokong kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor.

Beliau menjadi ADUN ketiga daripada WARISAN yang keluar dari parti selepas ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir dan ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob.

Mohammadin yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi WARISAN menang kerusi Parlimen Lahad Datu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 2018 atas tiket WARISAN dan kerusi DUN Segama pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) tahun lalu. – BHarian


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top