Modal Insan Aset Penting Untuk Dibangunkan – Shahelmey

IMG_20220111_150912.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Modal insan perlu dibangunkan demi pembangunan berterusan negeri dan negara.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, ianya agar Sabah dan Malaysia amnya akan dapat terus dibangunkan dari generasi ke generasi.

“Modal insan adalah aset yang penting untuk dibangunkan agar kita dapat bersama-sama membangunkan negeri dan negara kita, dan mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Generasi muda yang ada pada masa ini merupakan pelapis seterusnya untuk memajukan negeri dan negara kita, secara amnya.

“Itulah harapan kami selaku pemimpin masyarakat untuk sama-sama menyumbang ke arah membangunkan modal insan agar tidak putus usaha memajukan negeri kita daripada generasi ke generasi yang akan datang,” katanya.

Shahelmey berkata demikian ketika berucap merasmikan Program SMART Jawab SPM 2021 anjuran Pusat Khidmat Rakyat dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N24 Tanjung Keramat secara maya di pejabatnya pagi tadi.

Shahelmey yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat berkata, penganjuran program SMART Jawab SPM 2021 ini bertujuan untuk mempersiapkan para pelajar dalam daerah Putatan yang bakal menduduki SPM 2021.

“Kami adakan program SMART Jawab  SPM 2021 ini untuk memperkemaskan persediaan di tahap akhir pelajar-pelajar bagi menduduki peperiksaan SPM 2021.

“Selain itu, saya juga ingin melihat pencapaian prestasi akademik yang baik di kalangan penduduk Putatan agar dapat sama-sama menyumbang ke arah melahirkan modal insan di daerah ini, negeri Sabah dan juga Malaysia”katanya.

Sebagai rekod, Program SMART Jawab SPM 2021 yang diadakan bermula dari 11  hingga 19 Januari disertai oleh lebih 650 orang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM pada bulan Mac ini yang melibatkan dua buah sekolah menengah dalam Daerah Putatan iaitu SMK Tansau dan SMK Putatan.

Para pelajar akan didedahkan dengan cara-cara menjawab kertas peperiksaan yang disampaikan oleh guru-guru yang terlibat secara langsung dalam menyemak kertas peperiksaan SPM.  – Warta Oriental


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top