MMA Gesa Putrajaya Hantar Bantuan Besar-besaran Ke Sabah Untuk Elak Kesan Buruk Covid-19

covid-19-1.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia hari ini menggesa Putrajaya supaya memperuntukkan bantuan kewangan yang besar dan segera kepada Sabah dalam usaha mengawal penularan wabak Covid-19 yang dibimbangi akan meranapkan sistem kesihatan di negeri itu.

Presidennya, Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata, angka jangkitan harian pesakit Covid-19 yang direkodkan di Sabah mungkin jauh lebih kecil daripada angka sebenar, mengambil kira kelewatan mendapatkan keputusan ujian, pengesanan kontak rapat dan pengasingan individu dijangkiti.

“Jumlah katil yang digunakan sudah hampir mencapai kapasiti penuh di kebanyakan hospital di Sabah dan di beberapa kawasan lain.

“Kes Covid-19 yang tidak teruk harus diasingkan dan kemungkinan rawatan di rumah perlu dibuat.

“Kami amat bimbang kes Covid-19 yang lebih teruk mungkin meningkat. Kadar jangkitan dan kematian di Sabah jauh lebih tinggi daripada angka di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 1,228 kes Covid-19 dengan 7 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Noor Hisham berkata, Sabah terus mencatatkan jumlah kes terbanyak, iaitu 889 kes dengan 500 daripadanya daripada kluster aktif dan selebihnya dikesan melalui saringan kontak rapat dan saringan lain.

Pada 16 Okt, Noor Hisham turut memaklumkan, seramai 767 petugas perubatan dan kesihatan awam KKM sudah dikerahkan ke 5 daerah di Sabah bagi membantu menangani lonjakan kes Covid-19 di negeri itu.

Menurutnya semua petugas barisan hadapan itu digerakkan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna, Sandakan dan Kota Kinabalu sejak awal peningkatan kes Covid-19 di kawasan berkenaan.

Subramaniam berkata, rakyat Malaysia seharusnya bersatu dalam usaha memerangi wabak Covid-19, terutamanya untuk rakyat Sabah yang ketika ini sangat terkesan memandangkan kemudahan kesihatan yang terhad di negeri berkenaan.

“Keadaan di sana sangat serius dan negeri itu memerlukan semua bantuan yang mereka boleh dapat dari segi PPE, peralatan perubatan dan bantuan kewangan.

“Pertambahan bilangan katil hospital juga sangat diperlukan.

“Tidak seperti di Semenanjung, Sabah hanya ada 9 hospital awam. Akses kepada penjagaan kesihatan awam untuk rakyat juga terjejas, malah dengan kawasan yang luas, lokasi yang jauh dan muka bumi yang mencabar turut memberi kesan,” katanya.

Beliau berkata, setiap minit Putrajaya lewat dalam usaha menyelamatkan Sabah akan meletakkan seluruh negara dalam keadaan bencana, yang mungkin akan menjadi sejarah hitam sejak negara ini dibentuk.

“Kami mendesak Putrajaya supaya mempercepatkan dana kecemasan dan semua bantuan berkaitan yang diperlukan untuk mengurangkan tekanan kesihatan di Sabah.

“Kami meminta semua pemimpin, tanpa mengira fahaman politik dan seluruh negara bersama-sama untuk Sabah,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top