MKT UMNO Kini Hanya ‘Caretaker’ Sahaja, Kata RoS

umno.jpg
Kongsi Bersama

PUTRAJAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang ada sekarang hanya hanya berfungsi sebagai ‘caretaker’ parti sahaja sehingga pemilihan baharu selesai dilaksanakan, kata Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Jasri Kasim.

Memetik laporan Utusan Online, Jasri berkata, pihaknya menyangkal ura-ura bahawa parti itu boleh dibatalkan dengan mudah kerana ia masih diterajui Pengerusi Tetap dalam tempoh fungsi kepemimpinan MT ketika ini.

“Kepemimpinan Majlis Tertinggi (MT) UMNO ketika ini hanya boleh berfungsi sebagai caretaker sehingga selesai pemilihan dan mesyuarat Agung UMNO 2021 dijalankan.

“MT yang diketuai Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam tempoh sebelum pemilihan dibuat, hanya boleh menjalankan kerja-kerja pentadbiran parti.

“Pada masa ini (kepemimpinan UMNO) seperti caretaker sahaja, hanya boleh buat pengurusan administrative atau pentadbiran biasa parti.

“Dari segi pelaksanaan (atau segala) keputusan dasar kena bawa ke perhimpunan agung dahulu kerana dia lebih kepada caretaker sahaja,” katanya di sini semalam.

Jasri berkata, pihak RoS telah menerima surat penjelasan daripada UMNO semalam berhubung keputusan penangguhan pemilihan 18 bulan yang mana RoS berpandangan sebelum ini sebagai tidak sah memandangkan keputusan penangguhan itu dibuat selepas tamat tempoh pemegang jawatan MT bagi penggal 2018/2021 pada 30 Jun lalu.

Jelas beliau, pihaknya akan meneliti dan mengkaji surat penjelasan yang diterima itu terlebih dahulu kerana parti itu ada mengemukakan maklumat-maklumat baharu.

Bagaimanapun katanya, segala intipati surat penjelasan itu tidak boleh didedahkan, namun memberitahu akan meneliti satu persatu penjelasan berkenaan.

“Saya sudah bercakap perkara ini kepada pihak UMNO bahawa isu ini straight forward sahaja, kita dah dengar penjelasan mereka dan akan teliti satu persatu.

“Mereka juga tidak mengemukakan lagi cadangan tarikh baharu pemilihan parti dan Mesyuarat Agung UMNO 2021 yang akan diadakan,” katanya.

RoS pada Ahad lalu menyarankan UMNO mengadakan pemilihan parti selewat-lewatnya sebelum hujung tahun ini dan pelaksanaan pemilihan hanya dibenarkan untuk ditangguhkan sebelum 31 Disember, dengan parti tersebut perlu mengemukakan permohonan penangguhan kepada RoS dalam tempoh terdekat.

Perkara sama juga perlu dipatuhi pertubuhan lain, bukan hanya melibatkan pertubuhan politik yang belum mengadakan pemilihan atau mesyuarat agung sejak tahun lalu.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top