KOTA KINABALU: Sempena membudayakan amalan norma baharu dalam kehidupan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah menganjurkan satu pertandingan video pendek bertemakan New Norms/Norma Baharu.
Menurut kenyataan yang disiarkan di laman Facebook MKN Sabah, pertandingan itu juga bertujuan menghargai kerja keras rakyat, khususnya di negeri ini, melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19.
“MKN percaya anggota masyarakat negeri Sabah amat memberi sokongan dan juga mematuhi SOP,” kata kenyataan itu.
Hadiah lumayan RM2000 disediakan untuk pemenang tempat pertama, RM1500 tempat kedua dan RM1000 tempat ketiga.
10 hadiah sagu hati berupa RM200 tiap satu turut disediakan.
MKN Sabah juga berharap selain memberi kesempatan kepada rakyat menggunakan kreativiti masing-masing menghasilkan video, pertandingan itu juga dapat membantu peserta mendidik rakan-rakan dan anggota masyarakat yang lain.
Video paling kreatif akan dipilih oleh MKN Sabah dan pemenang akan diumumkan pada 10 Disember nanti.
Syarat pertandingan adalah seperti tertera pada poster di atas.
Peserta hendaklah memuatnaik video dengan hashtag #NormaBaharuMKNSabah dan #segeralahsembuhSabahku