MKMA63 Perakui 35% Kerusi Parlimen Untuk Sabah, Sarawak

majlis-MA63.jpg

Ismail Sabri, Dr Maximus dan lain-lain pada mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 kelima.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Mengembalikan 35 peratus kerusi parlimen Malaysia Timur daripada jumlah keseluruhan kerusi di Dewan Rakyat adalah antara isu utama yang dibincangkan pada mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) ke-5 yang diadakan di Putrajaya, semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili ketika mendedahkannya berkata isu itu telah dibincangkan dan diperakui oleh MKMA63.

“Bagaimanapun, lebih banyak libat urus diperlukan berkaitan isu ini, terutamanya dalam kalangan penggubal undang-undang Borneo dan pengamal undang-undang,” kata Dr. Maximus, selepas mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata, penggubal undang-undang dari Sabah dan Sarawak telah menuntut semakan semula bilangan kerusi parlimen bagi kedua-dua negeri.

“Pada tahun 1963, Sabah mempunyai 16 kerusi, manakala Sarawak ada 24 kerusi dan Singapura, 15 kerusi, mewakili 35 peratus daripada keseluruhan 159 kerusi parlimen, manakala baki 65 peratus atau 104 kerusi adalah Tanah Melayu. Malaya tidak memiliki majoriti ⅔ sahaja.

“Jadi apabila Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965, kerusi milik Singapura harus diberikan kepada Sabah dan Sarawak, untuk memenuhi 35 peratus perwakilan,” tegas Dr. Maximus, sambil menambah, cadangan pemulihan kerusi itu telah diperakui oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada tahun 2012.

Tambahnya, tugas akhir adalah untuk meyakinkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi menegaskan bahawa isu itu harus didesak kerana ia adalah satu lagi pemulihan mengikut MA63.

Berdasarkan kedudukan semasa, daripada 222 kerusi parlimen, 166 atau 75 peratus berada di Semenanjung Malaysia manakala baki 25 peratus atau 56 kerusi adalah di negeri Borneo, dengan Sarawak memiliki 31 kerusi dan Sabah, 25 kerusi.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top