KENINGAU: Malaysian Kuwaiti Investment Co Sdn Bhd (MKIC) menjalin kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam bidang tanaman kelapa bersepadu di Pusat Penyelidikan Makanan Ternakan UMS, Apin-Apin, dekat sini.
Pengerusi MKIC Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata kerjasama itu antara lain bertujuan mengkaji potensi penghasilan bahan makanan ternakan haiwan daripada pelepah kelapa dan juga bahagian lain seperti batang pokok atau buah.
Beliau berkata usaha itu adalah bagi mencari alternatif baharu bahan utama dalam menghasilkan makanan ternakan haiwan dan mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan jagung, kekacang dan soya yang perlu diimport dari luar, selain kosnya semakin tinggi saban tahun.
“Perkara ini sekali gus menyumbang kepada faktor utama kenaikan kos dalam industri penternakan haiwan seperti ayam daging, lembu dan kambing di negara kita. Justeru, hasrat murni UMS dalam melaksanakan kajian mendalam terhadap bahan makanan ternakan ini perlu disambut baik.
“MKIC turut menyahut hasrat kerajaan dalam memastikan keterjaminan makanan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran tanaman kelapa bersepadu semalam.
Sabin berkata, MKIC akan menanggung kos penanaman kelapa dan sehingga hari ini, agensi itu telah membelanjakan lebih RM200,000 bagi menjayakan kerjasama berkenaan di plot tanah milik UMS dengan keluasan 14.16 hektar.
Selain itu, katanya, MKIC juga bakal menyumbang dana tambahan RM100,000 kepada UMS dalam bentuk geran penyelidikan bagi menyokong usaha murni mereka, selain bersedia untuk menyediakan peluang latihan industri kepada pelajar daripada universiti berkenaan.
“Harapan saya, semoga hubungan kerjasama antara UMS dan MKIC ini akan memberi impak positif kepada negara khususnya bagi warga Sabah,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Sabin berkata, MKIC telah memulakan aktiviti penanaman kelapa berskala besar seluas 833.6 hektar di satu daripada ladang agensi itu di Semporna, sekali gus mendapat pengiktirafan sebagai ladang kelapa terbesar di Sabah.
Beliau berkata dengan kapasiti tanaman sebanyak 183,480 batang pokok kelapa terdiri daripada pelbagai variasi, ladang kelapa itu juga mampu untuk mengeluarkan hasil buah sehingga lebih 27 juta biji setahun pada 2027.
“Ini adalah satu bukti komitmen kami dalam memperkasa industri tanaman kelapa berskala besar di Sabah,” katanya sambil memaklumkan, selain ladang kelapa, teras perniagaan MKIC juga adalah melalui perusahaan ladang kelapa sawit, kilang memproses kelapa sawit dan ladang ternakan ayam daging.
Sabin berkata pencapaian dan prestasi MKIC bagi pengeluaran sawit pada tahun ini dijangka meningkat kepada 21 mt/hektar berbanding 18 mt/hektar tahun lepas, dengan kadar purata perahan minyak sebanyak 20 peratus.
Bagi ternakan ayam daging untuk tahun ini pula, sebanyak 1.2 juta ekor ayam berjaya dijual, katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS Prof Dr Rosalam Sarbatly ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut berkata, Memorandum Persetujuan dengan MKIC membolehkan universiti membuat penyelidikan lebih komprehensif dalam penanaman serta pertanian bersepadu.
“Kita juga ingin mempelajari bagaimana usaha sama antara industri dan universiti menyumbang kepada pembangunan ekonomi masyarakat. Terima kasih kepada MKIC kerana menjalankan kerjasama ini seterusnya menjadikan pembangunan ekonomi bagi Sabah khususnya dalam pertanian dan penternakan,”katanya. – BERNAMA