BONGAWAN: “Saya juga memilih bertanding atas tiket LDP (Parti Liberal Demokratik) kerana kali ini ia menampilkan Presiden Kehormat Seumur Hidup, Tan Sri Chong Kah Kiat sebagai ketua dalam misi ‘now or never’ ini.
“Ini adalah misi menyelamatkan Sabah, misi yang sukar tetapi bukan sesuatu yang mustahil kerana misi yang dibawa oleh LDP akan memberi manfaat dan masa depan yang jelas kepada negeri Sabah,” katanya.
Itu antara ayat yang diungkapkan oleh bakal calon LDP di Bongawan, Mohd Azree Abd Ghani, dalam satu kenyataan kelmarin.
Menurut anak muda berusia 29 tahun itu pengundi Bumiputera tidak perlu bimbang terhadap langkah yang diambil LDP meluaskan kawasan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September ini.
Beliau berkata sebaliknya ini adalah masanya untuk golongan Bumiputera berganding bahu bersama kaum bukan Bumiputera bagi menumpaskan kerajaan sedia ada.
Katanya, LDP mampu bangkit menjadi sebuah parti yang besar dan kuat selepas sekian lama ditekan Barisan Nasional (BN) yang hanya mengagihkan tiga atau empat kerusi Cina kepada parti itu sebelum ini.
Jelas beliau, yang merupakan anak jati Bongawan, amalan BN itu menyebabkan LDP dilihat sebagai parti berasaskan Cina sedangkan penubuhannya kira-kira 31 tahun lalu adalah berasaskan parti pelbagai kaum yang berkhidmat kepada seluruh rakyat Sabah.
Disebabkan tidak lagi bersama BN, katanya maka kepemimpinan LDP membuat keputusan untuk mengembalikan konsep asal parti itu dan meluaskan kawasan bertanding termasuk di kerusi majoriti Bumiputera Islam dan kerusi Kadazan Dusun Murut (KDM).
“Seperti semua maklum, saya adalah bakal calon LDP di N30 Bongawan. Saya memilih LDP kerana LDP bukanlah sebuah parti Cina seperti yang kita anggap sebelum ini, ketika ia menjadi komponen BN.
“Ketika dalam BN, LDP hanya diperuntukan kerusi kawasan Cina, ia tidak berpeluang untuk melebarkan bahagian atau bertanding di kerusi ramai KDM kerana di kawasan itu ada Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
“Begitu juga di kawasan Bumiputera Islam yang mana UMNO bertanding di sana. Maka LDP tidak dapat melebarkan sayap ke kawasan KDM dan Bumiputera Islam,” katanya.
Semalam, Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin, memaklumkan parti itu akan bertanding di lebih 40 kerusi termasuk kawasan majoriti Bumiputera Islam dan KDM, selain kerusi tradisi majoriti pengundi Cina sejajar konsep sebenarnya yang berbilang kaum.
Mohd Azree adalah antara perintis Bumiputera Islam dipertaruhkan LDP bagi merebut kerusi majoriti pengundi Bumiputera di Bongawan bersama beberapa lagi calon di tempat lain.
“Saya berbangga dan bersyukur diberikan peluang untuk membawa bendera dan lambang LDP di kawasan N30 Bongawan pada PRN ini,” katanya.