PONOROGO: Disebabkan Indonesia dilanda masalah kekurangan bekalan minyak masak sepasang pengantin memilih menjadikan bekalan asas itu sebagai mas kahwin.
Tribunnews melaporkan, Supadi, 60, menikahi Sumariati, 54, dengan mas kahwin minyak masak seliter serta wang tunai sejuta rupiah (RM291).
Majlis akad nikah dilakukan di rumah pengantin perempuan di Desa Suru, Kecamatan Sooko pada tarikh 22022022.
Pasangan itu selamat dinikahkan dengan tiga kali lafaz.
Pengantin lelaki tampak segak dengan baju batik, manakala, pengantin perempuan kelihatan cantik dengan baju kebaya berwarna ungu.
Ketua Pejabat Urusan Agama Sooko, Meky Hasan berkata, hanya terdapat satu pasangan yang bernikah Selasa lalu di Kecamatan tersebut.
Beliau berharap pernikahan pasangan itu mendapat keberkatan dalam rumah tangga.
Jelasnya, pernikahan semasa pandemik Covid-19 dibenarkan dengan syarat mematuhi protokol kesihatan ditetapkan.
Di Ponorogo, bekalan minyak masak menjadi barang berharga bahkan menjadi buruan golongan wanita disebabkan kekurangan stok. – Utusan Malaysia