Minta Maaf Dulu, Baru Cerita Tentang Kerjasama GRS-PH, Kata Jeffrey Kepada Rafizi

jeffrey-rafizi.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan menggesa Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli supaya memohon maaf terlebih dahulu atas kenyataannya pada Hari Malaysia lalu, sebelum bercita-cita menjalin kerjasama dengan gabungan itu selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata walaupun idea Rafizi bekerjasama dengan GRS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membentuk kerajaan persekutuan adalah “praktikal dan satu langkah ke arah yang betul”, ia tetap mengejutkan.

Katanya, ini kerana beberapa bulan lalu dalam perutusan Hari Malaysia Rafizi mendakwa pemimpin Sabah dan Sarawak menyalahgunakan kuasa mereka untuk mengumpul kekayaan.

Menurut FMT, Kitingan memberitahu portal berita itu:“Adakah beliau masih menganggap kemunduran dan kemiskinan Sabah berpunca daripada penyalahgunaan kuasa dan rasuah oleh pemimpin Sabah?

“Adakah Rafizi percaya dengan kekecewaan dan permintaan pemimpin negeri? Adakah beliau percaya dengan rungutan pemimpin Sabah?

“Jika begitu, dia mesti memohon maaf terlebih dahulu atas kenyataannya tentang pemimpin Sabah.”

Kitingan berkata, pemimpin Sabah, terutama mereka dalam GRS, sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan parti di Semenanjung selagi mereka dilayan sama rata sebagai rakan gabungan dan bukannya perlu tunduk kepada sesiapa.

Sebelum ini, Rafizi berkata, Pakatan Harapan hanya boleh bekerjasama dengan GRS dan GPS untuk membentuk kerajaan persekutuan akan datang sekiranya timbul keperluan kerana kerjasama dengan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) atau Gerakan Tanah Air (GTA) adalah di luar persoalan.

Sementara itu penganalisis sosio-politik Universiti Malaya (UM) Awang Azman Pawi berkata mana-mana pihak yang ingin membentuk kerajaan mesti bekerjasama dengan GPS dan GRS.

“Rafizi telah ‘menembak dirinya sendiri’ kerana kenyataannya boleh menjejaskan peluang Pakatan Harapan membentuk kerajaan.

“Malah, Rafizi mungkin akan dipersalahkan jika GPS dan GRS menolak pendekatan PH untuk membentuk kerajaan.”

Awang Azman berkata, beliau percaya GPS dan GRS lebih selesa bekerjasama dengan BN.

Beliau mengingatkan apa yang berlaku selepas Langkah Sheraton (yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PH) apabila GPS enggan bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan baharu kerana tidak dapat menerima DAP.

Sebelum ini, Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata, GPS tidak boleh bekerjasama dengan DAP selepas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, yang merupakan bekas menteri kewangan, mendakwa negeri itu akan muflis dalam tempoh tiga tahun.

Berita asal: FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top