Minosung Campsite Berpotensi Dipromosi Sebagai Destinasi Pelancongan

Jahid-2.jpg
Kongsi Bersama

TAMPARULI: Minosung Campsite, di Kampung Puhus, dekat sini, berpotensi menjadi satu pusat pelancongan terkenal di Sabah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, Minosung Campsite, sebuah kawasan di Kampung Puhus, kaya dengan keindahan flora dan fauna berasaskan hutan hujan tropika.

Ia berpotensi untuk diperkenalkan sebagai satu daripada tempat pelancongan di Tamparuli.

“Saya lihat tempat ini jika diuruskan dengan baik, mampu menjadi tarikan kepada para pengunjung, terutamanya yang meminati suasana alam semula jadi, air terjun dan cabaran seperti ‘hiking’ dan sebagainya,” ujar Jahid.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Santai Keluarga Bersama YB Datuk Jahid Jahim di Minosung Campsite, Kampung Puhus Tamparuli, dekat sini hari ini.

Turut hadir Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak; Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar; Setiausaha Sulit, William Ugau; dan beberapa pemimpin masyarakat lain.

Katanya, pihak Minosung Campsite juga boleh mendapatkan nasihat mengenai peluang-peluang serta maklumat pengurusan daripada mana-mana pusat pelancongan yang sudah sedia ada.

“Selain itu, mungkin boleh diadakan usaha-usaha membawa pemimpin yang bertanggungjawab terhadap sektor pelancongan ke sini agar dapat difikirkan sesuatu nanti,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau mendoakan semoga persekutuan keluarga itu akan kekal utuh selama-lamanya.

“Keluarga adalah yang paling utama. Sayangi ibu dan bapa kita selagi mereka masih bernafas. Sentiasalah bersyukur kerana mereka masih mampu memberi kita kasih sayang,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Minosung Campsite, Faroyner Kiting berkata, di sungai tersebut, terdapat banyak jenis ikan yang boleh diperolehi secara bebas oleh masyarakat kampung.

“Bagaimanapun, kami bimbang sekiranya aktiviti ini berterusan, ekosistem sungai akan terganggu dan ikan akan mengalami kepupusan kelak.

“Justeru, kami memohon sokongan dan kebenaran daripada pihak kepimpinan untuk membenarkan kami membuat penjagaan rapi pada sungai kira-kira sepanjang 150 meter sahaja, hanya bertujuan bagi memastikan ekosistem sungai itu lebih terpelihara, tanpa memikirkan aspek keuntungan,” katanya.

Minosung Campsite terletak kira-kira sekitar 50 kilometer dari Kota Kinabalu dan memakan masa selama 20 minit perjalanan dari Pekan Tamparuli.

Selain keindahan panorama, pelbagai aktiviti boleh dilakukan pengunjung yang bertandang ke sini, termasuklah meneroka alam semulajadi di sepanjang laluan sejauh 2.5 kilometer ke ‘Timpak Rondogung’.

Bagi mereka yang berminat untuk sekadar bersantai sambil menikmati kedinginan air pula boleh bermandi-manda di Air Terjun Hotob yang mengambil masa sekitar 40 minit untuk sampai. – Warta Oriental

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top