MIDF Research Unjur Pertumbuhan Ekonomi Sabah Kukuh

pelabuhan-sepanggar.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: MIDF Research menjangkakan pertumbuhan ekonomi Sabah berada pada momentum yang memberangsangkan bagi 2022 dan 2023, terutama disokong oleh sektor utama.

Cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd ini turut menjelaskan prestasi sektor utama Sabah iaitu pertanian dan perlombongan dijangka meningkat kukuh dipacu oleh pembukaan semula ekonomi dan kenaikan harga komoditi.

“Kami mengunjurkan prospek cerah bagi ekonomi Sabah, terutama didorong oleh kenaikan harga komoditi global, pemulihan aktiviti berkaitan pelancongan dan peningkatan perbelanjaan infrastruktur,” menurutnya dalam nota penyelidikan pada Jumaat.

Ia menambah, harga minyak mentah Brent dijangka mencatatkan purata US$105 setong bagi 2022 dan US$96 setong untuk 2023, manakala minyak sawit mentah (MSM) diunjurkan mencecah purata RM5,000 satu tan tahun ini dan RM3,500 bagi tahun depan.

Menurut MIDF Research, Sabah mempunyai pekerjaan pertanian terbesar di negara ini, dengan lebih satu pertiga pekebun negara bekerja di Sabah, manakala pekerja perlombongan di negeri itu menyumbang 11.2 peratus kepada pekerjaan perlombongan negara memandangkan rizab minyak yang besar terletak di Sabah.

“Bagi jangka panjang, kami berpendapat pasaran pekerjaan akan beralih sedikit ke arah pekerjaan pembuatan susulan pewujudan zon perdagangan bebas, penciptaan lebih banyak aktiviti hiliran dan peningkatan pelaburan asing di Sabah,” tambahnya.

MIDF Research yakin dalam melangkah ke 2023, pertumbuhan pekerjaan yang lebih baik dapat direkodkan dalam sektor pembinaan terutama dengan projek Lebuhraya Pan Borneo dan pembesaran rangkaian jalan raya yang lain.

Sehingga September 2022, Lebuhraya Pan Borneo di Sabah berada pada tahap 65 peratus siap dan yakin 35 peratus kerja lain akan dilaksanakan pada 2023 dan seterusnya, jelasnya.

Di samping itu, pengembangan Kalimantan, Indonesia juga akan memberi manfaat kepada ekonomi Sabah, katanya.

“Cadangan pembinaan jalan untuk menghubungkan kawasan Kalabakan dan Serudong dengan Simanggaris, Indonesia yang berada pada peringkat awal akan meningkatkan kesalinghubungan yang lebih baik antara Sabah dengan Kalimantan.

“Pertumbuhan sektor pembinaan Sabah juga akan disokong oleh pelaksanaan projek infrastruktur lain seperti projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) fasa dua yang akan dimulakan tahun depan dan penyambungan semula pembinaan empangan Cinta Mata di Tawau,” menurutnya.

Selain itu, sempadan antarabangsa yang dibuka semula sejak 22 April akan memulihkan aktiviti pelancongan Sabah dan keseluruhan sektor perkhidmatan, menurut MIDF Research.

Sehingga Julai 2022, Sabah menerima lebih 850,000 pelancong, daripada jumlah itu sekurang-kurangnya 90 peratus adalah pelawat domestik.

Pekerjaan berkaitan pelancongan dijangka meningkat secara berterusan, susulan pembukaan semula sempadan dan pemulihan ekonomi domestik yang kukuh.

Secara keseluruhannya, ekonomi Sabah diunjurkan berkembang 4.1 peratus setiap tahun dari 2021 hingga 2030, lebih tinggi daripada purata sebelum pandemik iaitu 3.8 peratus (2016 hingga 2019).

— BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top