MHO Fokus Wujudkan Kesedaran Di Kalngan Orang Asal Tidak Berdokumen Di Sabah

MHO.jpg

Musa (tiga dari kiri), Hishamuddin (tengah), Amirul (tiga dari kanan), Jerry (dua dari kiri) dan anggota MHO yang lain.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) sedang dalam misi untuk mewujudkan kesedaran di kalangan orang asal tidak berdokumen di negeri ini.

Empat daerah utama yang menjadi focus program ‘out reach’ itu ialah Kota Kinabalu, Sandakan, Lahad Datu, dan Tawau.

Penasihatnya, Tan Sri Musa Hassan, berkata pertubuhan itu akan mewujudkan kesedaran mengenai isu rakyat tanpa dokumen Sabah di mana mereka akan mengumpulkan data berkaitan untuk dibentangkan kepada kerajaan negeri dengan harapan dapat menyelesaikannya.

Katanya, MHO turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah, dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam melaksanakan program berkenaan.

“Pada peringkat awal kita akan melaksanakan program kesedaran supaya golongan terbabit tahu mengenai kepentingan mendaftarkan kelahiran,” katanya.

Musa, yang merupakan bekas Ketua Polis Negara Malaysia dari 2006 hingga 2010, berkata isu pribumi tanpa dokumen di Sabah telah berlarutan sekian lama dan mesti diselesaikan tanpa melibatkan politik tetapi atas dasar kemanusiaan.

Menurutnya, keadaan itu menjadikan golongan berkenaan tidak mendapat hak untuk hidup seperti masyarakat lain sedangkan  mereka adalah orang asal di Sabah.

“Mungkin mereka tinggal jauh di pedalaman dan tidak ada akses untuk mendaftarkan kelahiran atau mendapatkan dokumen yang mengakibatkan mereka tidak dapat bersekolah atau peluang pekerjaan.

“Justeru, kita perlu mengenal pasti mereka ini dalam memperjuangkan hak mereka sebagai orang asal Sabah dan mendapat keistimewaan sebagai rakyat di negara ini.

“Selepas mereka ini dikenal pasti, kita akan jalankan siasatan terperinci bagi memastikan hanya orang asal Sabah sahaja yang layak menerima dokumen pengenalan diri,” katanya.

Dalam pada itu, Musa berkata, usaha yang dilaksanakan MHO ini juga mengikut peraturan undang-undang yang ditetapkan dalam Perlembangaan Malaysia.

“Saya harap usaha MHO ini akan memberi kefahaman kepada rakyat khususnya di Sabah bahawa  program ini bukanlah untuk memberi dokumen kepada orang asing tetapi orang asal Sabah yang tidak berdokumen.

“Kita juga tidak mahu perkara ini dipolitikkan kerana tujuan utama MHO adalah untuk memperjuangkan hak asasi kemanusiaan bagi orang asal tidak berdokumen di negeri ini,” katanya.

Turut hadir Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim, Pengarah (ATIPSOM) MHO Haji Amirul Haji Salamat dan Penyelaras MHO (Sabah) Kapten Jerry (B) Jaimeh.

Sementara itu, Hishamuddin berkata, usaha yang dibuat MHO dilihat dari sudut kemanusiaan tanpa mengabaikan ketetapan undang-undang.

Katanya, apa yang ditawarkan MHO adalah situasi ‘menang-menang’ kepada kerajaan negeri, rakyat Sabah serta tawaran memenangi hati seluruh rakyat Malaysia.

 

Berita asal: The Borneo Post


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top