KOTA KINABALU: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menyokong pelaksanaan Akta Anti-Lompat Parti dan menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.
Timbalan Presidennya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, langkah ini akan menjadikan politik negara lebih matang dan berintegriti.
Katanya, dengan menghadkan tempoh perkhidmatan ia akan memberikan tekanan yang lebih kepada Perdana Menteri untuk melaksanakan dasar-dasar negara yang lebih berkesan serta sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan yang lebih efisyen kepada rakyat.
“PBRS menggesa agar akta ini dibentang dan diluluskan di Parlimen sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk meningkatkan integriti demokrasi negara.
“Para perwakilan turut bersetuju agar amalan tersebut turut dikuatkasakan di peringkat negeri Sabah dengan menghadkan tempoh perkhidmatan Ketua Menteri kepada dua penggal sahaja,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Ini merupakan antara usul-usul yang diluluskan semasa Mesyuarat Perwakilan Tri-Tahunan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang telah berlangsung dengan jayanya di sini pada 12 Februari.
Selain itu, katanya, para perwakilan juga menyokong untuk menolak sekeras-kerasnya cadangan Kementerian Dalam Negeri mewujudkan Kad Warga Asing sebagai dokumen pengenalan diri untuk golongan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.
Arthur berkata, tindakan undang-undang yang tegas harus diambil ke atas PATI yang tidak mempunyai dokumen yang sah dan bukannya diberi Kad Warga Asing kerana ini seolah-oleh memberi pengiktirafan kepada mereka.
“Bagi seseorang warga asing, adalah mencukupi dengan passport atau pas kerja sebagai dokumen pengenalan diri.
“Kami akan sentiasa mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negeri Sabah. PBRS bersama dengan suara rakyat Sabah akan terus menggesa Kerajaan untuk bertindak tegas dalam menyelesaikan isu PATI yang sudah sekian lama membelenggu negeri ini,” kata Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan.