KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (MKT) malam tadi hanya membincangkan solidariti bagi memperkukuh parti untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin berkata, perkara lain yang turut dibincangkan adalah melibatkan usaha menstabilkan ekonomi dan negara.
“Benda tak penting kita tak bincang, kita bincang perkara untuk memperkukuh parti, parti kuat calon kita menang,” jawab Bung kepada pemberita selepas mesyuarat berkenaan di Menara Dato Onn WTC di sini malam tadi.
Beliau juga memaklumkan kepada media bahawa tiada sebarang perbincangan mengenai tarikh pilihan raya dibuat pada mesyuarat tersebut.
“Kita tak bincang, itu hak perdana menteri,” katanya.
Mesyuarat yang dipengerusikan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi Itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden parti.
Mesyuarat berlangsung selama lebih dua jam itu bermula jaml 8.30 malam sehingga jam 11.00 malam.