Mesti Pakai Mask Walaupun Sudah Divaksin – Pakar Perubatan

pakar-perubatan.jpg
Kongsi Bersama

Tiga pakar kesihatan berkata, Malaysia tidak boleh mencontohi Amerika Syarikat dalam melonggarkan peraturan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal bagi individu yang telah divaksin.

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, sebab utamanya ialah kerana negara masih ketinggalan dari segi kadar vaksinasi jika dibandingkan dengan AS.

Lee, yang merupakan pakar kardiologi juga berkata, vaksin melindungi individu daripada penyakit tenat atau kematian, tetapi ia tidak menghalang seseorang daripada jangkitan.

“Tetapi lebih penting, jika anda divaksin dan dijangkiti, anda masih boleh menularkan virus itu,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun beliau juga mengakui kadar jangkitan akan menurun selepas seseorang divaksin.

“Jika kita mula membenarkan orang ramai tidak memakai pelitup muka, maka wujud risiko jangkitan berterusan dalam komuniti,” kata Ahli Parlimen Gopeng itu, selain menyuarakan kebimbangan beliau bahawa individu yang telah divaksin mengambil mudah perkara itu.

“Kita tidak tahu apakah yang mungkin berlaku. Paling baik kita lihat perkembangan di AS terlebih dahulu sebelum menimbangkan langkah itu.”

Dr Sibrandes Poppema, presiden Universiti Sunway berkata, selagi program pemvaksinan belum selesai, beliau tidak akan menimbangkan dasar sedemikian.

Pakar immunopatologi itu berkata, walaupun risiko wabak itu ditularkan oleh individu yang telah divaksin kepada orang yang belum divaksin adalah rendah, namun ia “tidak mustahil”.

“Wujud juga risiko individu yang belum divaksin berasa tidak perlu memakai pelitup muka jika mereka melihat orang yang telah divaksin tidak memakainya,” kata beliau.

“Saya nasihatkan semua orang, termasuk individu yang telah divaksin, terus memakai pelitup muka kerana ia adalah kaedah pencegahan paling berkesan sehinggalah majority besar masyarakat telah dilindungi dengan vaksin.”

Pakar penyakit berjangkit, Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, berpandukan peningkatan kes Covid-19, kini bukan masanya untuk melonggarkan peraturan pemakaian pelitup muka.

Beliau berkata, walaupun langkah itu boleh diambil “bila tiba masanya”, namun wujud bahaya dasar sedemikian akan memberi mesej bercanggah dalam kalangan orang ramai.

“Ini terutamanya mereka yang belum memahami asas jangkitan penyakit dan sebab-musabab di sebalik peraturan ini. Terdapat juga isu untuk mengenal pasti mereka yang telah divaksin dan yang belum.

“Sehingga takat ini, pelonggaran peraturan pemakaian pelitup muka merupakan langkah pramatang,” kata Adeeba yang juga merupakan anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bagaimanapun beliau berkata, dasar berkenaan boleh digunakan untuk menggalakkan orang ramai mendapatkan vaksin masing-masing.

Pada Khamis, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) berkata, individu yang telah divaksin penuh tidak perlu memakai pelitup muka di luar rumah dan boleh mengelak daripada memakainya dalam bangunan di kebanyakan tempat.

Ia juga berkata, individu terbabit tidak perlu mengekalkan jarak fizikal di kebanyakan tempat.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top