TAWAU: Orangnya sentiasa tersenyum serta peramah dan sikap itu menjadikan calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, mudah didekati.
Habsah Awang, 68, yang menetap di Batu 2, Jalan Apas berkata keperibadian Nizam disenangi ramai kerana beliau tidak kekok bergaul dengan orang kampung selain rajin turun padang bertemu rakyat.
“Saya pengundi Apas sejak arwah abangnya (Datuk Taufiq Abu Bakar Titingan) juga seorang insan yang sederhana dan peka terhadap permasalahan masyarakat di Tawau.
“Sifat itu diwarisi adiknya, kami memerlukan seorang wakil rakyat yang bekerja keras untuk rakyat,” katanya ketika ditemui di sini.
Seorang suri rumah di Kampung Wakuba, Rustiani Baba, 39, pula berpendapat Nizam masih memiliki sokongan kuat di DUN Apas kerana beliau disenangi rakyat.
“Nizam masih diterima rakyat kerana dia wakil rakyat yang rajin turun padang dan memberi bantuan sewaktu COVID-19,” katanya.
Beliau berharap calon yang menjadi wakil rakyat di kawasan itu dapat menyediakan pelbagai mekanisme bagi membantu golongan memerlukan termasuk memperkasa golongan wanita
Dalam pada itu, Nizam ketika ditemui berkempen di Pasar Tanjung Tawau berkata proses menyantuni pengundi DUN Apas dilakukan setiap masa sejak menyandang kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-14.
“Saya dan penduduk akrab dan tempoh berkempen ini, saya ‘kejar’ balik proses mendekati pengundi ini,” katanya.
Beliau berkata perbezaan kempen kali ini ialah PN akan dibantu jentera UMNO dan PAS dalam usaha menarik lebih banyak undi sekali gus dapat memastikan kerusi Apas dipertahan.
Nizam berkata rakyat menaruh harapan agar ekonomi Sabah lebih stabil dan masalah seperti kemudahan asas dapat ditangani di bawah Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Sepanjang tempoh dua tahun diperintah kerajaan lalu (Warisan), rakyat merungut masalah bekalan air lebih teruk daripada sewaktu Barisan Nasional memerintah kerana kekerapan bekalan air terputus lebih teruk,” katanya.
Isterinya, Datin Wahida Mardiana Norsalim juga kelihatan tidak kekok berkempen untuk Nizam.
Wahida Mardiana berkata masa suaminya kini lebih banyak diluangkan bersama rakyat selepas menyandang kerusi DUN Apas kerana mahu memberikan perkhidmatan yang terbaik.
“Saya harap pengundi DUN Apas sekali lagi dapat memberi sokongan undi kepada suami saya,” katanya.
DUN Apas menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan Nizam ditentang calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Amrullah @ Ambrullah Kamal selain calon Parti Cinta Sabah (PCS) Datu Indal Datu Ismail serta Muhd Sayardi Bakal daripada Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).
— BERNAMA