MESEJ GERAMA Akan Dihidupkan Semula- Ruslan

haji-ruslan-1.jpg
Kongsi Bersama

BEAUFORT: Projek Mini Estet Sejahtera (MESEJ) GERAMA dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan akan dibangunkan semula setelah sekian lama terbiar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Haji Ruslan Muharam telah mengadakan lawatan ke Kampung Kepawa Gadong bagi memantau sendiri perkembangan projek tersebut, baru-baru ini.

Semasa lawatan tersebut, Ruslan telah diberikan taklimat mengenai projek berkenaan.

Dalam sidang media yang diadakan, Ruslan menyatakan projek ini telah dirancang pada tahun 2016 dan pelaksanaannya bermula pada tahun 2017.

“Walau bagaimanapun, setelah lima tahun berlalu projek ini belum mendatangkan hasil, disebabkan oleh pelbagai faktor seperti taburan hujan yang tinggi dan kawasan di naiki air (banjir) serta kawasan ladang termasuk dalam kawasan air pasang surut,” jelas beliau.

Oleh yang demikian, Ruslan  telah mengutarakan beberapa cadangan seperti membina benteng baharu setinggi satu meter dengan kelebaran tiga meter bagi menghalang air pasang melimpah ke dalam kawasan ladang tersebut.

“Pada masa yang sama, kerja-kerja penyelenggaraan parit yang keluasannya lebih 100 ekar perlu dijalankan.

Selain itu, jumlah ban auto gate perlu ditambah baik iaitu jalan menuju ke MESEJ GERAMA akan di baik pulih dengan menabur batu serta  pembinaan  jambatan konkrit ke kawasan ladang.

“Ini adalah kerana pemasangan pembetung (culvert) sedia ada tidak begitu sesuai bagi kelancaran air apabila hujan turun,” kata Ruslan yang juga Pengerusi Perkasa Realty Sdn. Bhd.

Begitu juga dengan tanaman sawit yang sedia ada di mana beliau turut mencadangkan supaya penanaman semula menggantikan pokok sawit yang rosak atau telah layu dilaksanakan.

Sehubungan itu, Ruslan merakamkan penghargaan kepada semua yang turun padang dalam usaha menghidupkan semula MESEJ GERAMA ini.

Turut hadir semasa lawatan tersebut ialah  Pegawai Daerah Beaufort, Haji Abdul Imam Basirun; Pengurus Ladang Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) dan Penolongnya, Mohd Sani Abdullah dan Zainudin Miju; Pegawai e-Kasih Daerah Beaufort, Nurul Aqilah Ibrahim; dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Lumadan, Diuslin Agustine, Pemaju Mukim Lima, Awang Saddamshah Hussin serta ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg Kepawa Gadong.-pr/BNN


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top