LABUAN: 10 orang lelaki tempatan berumur lingkungan 17 hingga 36 tahun ditahan Polis Daerah Labuan bagi membantu siasatan kejadian rusuhan dalam satu perlawanan bola sepak kelmarin.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Labuan, DSP Mohd. Ibrahim Mohd. Ghani setakat 13 Disember, lapan lelaki yang ditangkap mendapat perintah reman dari Mahkamah Majistret Labuan selama empat hari bermula 13 Disember hingga 16 Disember 2021 manakala dua lagi mendapat perintah reman sehingga 14 Disember 2021.
“Pada 12 Disember 2021, pihak polis telah menerima aduan kejadian merusuh melibatkan penyokong dan pemain bola sepak semasa perlawanan bola sepak bawah 23 tahun di Padang Kompleks Sukan Labuan.
“Kejadian rusuhan bermula semasa perlawanan antara Pasukan Bambu 2 dengan Pasukan PAT United pada jam lebih kurang 1.30 tengahari apabila perlawanan berada di separuh masa kedua.
“Terdapat beberapa orang penyokong dari kedua-dua pasukan yang tidak berpuas hati berkenaan kekasaran yang berlaku semasa perlawanan menyebabkan beberapa orang penyokong telah masuk ke dalam padang dan berlaku provokasi sehingga berlaku pergaduhan di antara penyokong dan pemain kedua-dua pasukan. Beberapa individu mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan,”katanya dalam satu kenyataan rasmi petang semalam.
Tambahnya, pihak polis menasihatkan mana-mana penganjur sukan untuk memaklumkan kepada pihak polis berkenaan apa-apa penganjuran yang melibatkan kumpulan ramai atau melibatkan kehadiran pemimpin-pemimpin tempatan atau orang kenamaan bagi mengelakkan berlakunya sebarang insiden yang tidak diingini.
Kes tersebut di klasifikasikan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sumber: Warta Oriental