KOTA KINABALU: Keputusan kerajaan menangguhkan projek pengorekan Sungai Likas bagi Projek Tebatan Banjir di Kampung Likas Lama merupakan satu tindakan paling wajar sekali gus tepat pada masanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau, Azhar Matussin berkata, keputusan menangguhkan projek ini diumumkan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan memberi nafas lega kepada penduduk yang terlibat.
Katanya, tindakannya membangkitkan isu notis perobohan rumah penduduk ini berlandaskan tanggungjawab sebagai wakil rakyat, bukan untuk mencipta polemik politik.
“Apa perasaan kita, apabila melihat orang kampung menangis, merayu meminta tolong agar wakil rakyat berbuat sesuatu untuk mereka.
“Malah dalam kenyataan saya hanya merayu agar kerajaan terutamanya Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor untuk mempertimbangkan semula keputusan yang telah diambil sebelum ini.
“Malahan saya tidak pernah memanggil penduduk kampung untuk berkumpul dan membawa sepanduk membuat bantahan.
“Apa yang berlaku adalah penduduk kampung datang berjumpa saya apabila menyedari kehadiran saya pada hari tersebut.
“Keprihatinan kerajaan terhadap masalah rakyat ini adalah perkara sangat penting…Saya menyatakan penghargaan atas keputusan kerajaan negeri untuk mendengar suara rakyat sekali gus menangguhkan projek tersebut,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Azhar berkata, beliau menekankan isu ini tidak boleh dipandang ringan, sebagai wakil rakyat, beliau tidak boleh berdiam diri apabila penduduk menerima notis perobohan secara tiba-tiba.
“Tindakan diambil ini berdasarkan atas faktor kemanusiaan serta tanggungjawab untuk melindungi hak asasi penduduk yang terjejas.
“Mereka sudah mendiami tanah ini sejak turun temurun melebihi usia 100 tahun lalu, kebanyakannya penduduk ini adalah keluarga bekerja sebagai nelayan.
“Ini bukan soal politik, tetapi soal keadilan dan maruah hidup rakyat. Protes dalam kalangan penduduk merupakan isu kemanusiaan tiada kaitan politik,” jelas Azhar.
Menurutnya kebimbangan ini menyebabkan penduduk Kampung Likas Lama menimbulkan keresahan kerana ketidakpastian masa depan kediaman mereka, apabila notis perobohan dikeluarkan tanpa perbincangan menyeluruh terlebih dahulu.
“Jika projek ini penting untuk tebatan banjir, ia perlu dirancang dengan teliti agar tidak menyusahkan rakyat.
“Parti Warisan tidak menolak pembangunan, tetapi kita mesti memastikan tiada pihak yang tertindas dalam proses tersebut,” kata Azhar.
Beliau menegaskan komitmen Parti Warisan adalah agar projek ini disemak semula terutama membabitkan Rancangan Tebatan Banjir atas perspektif rakyat.
“Warisan akan bekerjasama dengan pakar teknikal, NGO, dan wakil komuniti untuk mengkaji semula perancangan projek tebatan banjir tersebut.
“Fokus utama adalah mencari penyelesaian yang seimbang antara keperluan infrastruktur dan hak penduduk,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan memastikan kajian semula ini menitikberatkan dua aspek, iaitu pertama, keberkesanan sistem saliran untuk mengurangkan risiko banjir makala kedua perlindungan terhadap rumah sedia ada.
“Pendekatan ‘manusia di atas konkrit’ harus menjadi teras dalam sebarang perancangan. Seruan ke arah kerjasama serta kematangan berpolitik adalah penting.
“Kita menyeru semua pihak, termasuk kerajaan negeri, untuk mengutamakan dialog inklusif dan secara terbuka dalam menangani isu ini,” tambahnya.
Menurutnya, beliau mahu semua pihak agar meletakkan kepentingan rakyat menjadi perkara utama dalam menyelesaikan isu perobohan rumah penduduk bukan sahaja di Kampung Likas Lama.
“Malah juga membabitkan penduduk di sepanjang pinggiran Sungai Likas antanya Kampung Gusung, Cenderamata Satu sebahagian Kampung Cenderamata Dua, Cempaka dan Kampung Seroja.
“Kematangan berpolitik bukanlah tentang siapa menang atau kalah, tetapi tentang bagaimana kita bersama-sama menyelesaikan masalah tanpa mengorbankan nilai kemanusiaan.
“Sebagai Wakil Rakyat yang berpihak kepada rakyat bersedia sedia berkorban masa serta tenaga untuk memastikan suara rakyat tidak dipinggirkan.
“Parti Warisan akan terus menjadi ‘tali penyelamat’ bagi mereka yang memerlukan, kerana inilah inti pati perkhidmatan awam yang sebenar,” ujarnya.
Azhar berharap agar semua pihak dapat bekerjasama mencari penyelesaian mampan serta memelihara kedua-dua kemajuan infrastruktur dan keharmonian hidup masyarakat khususnya membabitkan penduduk di Kampung Likas Lama ini. – Jesselton Times