Menunggang Secara Berbahaya: Remaja Dihukum Lakukan Khidmat Masyarakat

remaja-khidmat-masyarakat.jpg

Remaja berkenaan (tengah) di luar bilik mahkamah selepas dijatuhi hukuman.

TAWAU: Seorang remaja berusia 19 tahun dijatuhi hukuman menjalankan khidmat masyarakat selama 150 jam oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas dia mengaku bersalah menunggang motosikal secara berbahaya tahun lalu.

Tertuduh dan sekumpulan penunggang melakukan aksi ‘Superman’ di Batu 16 Jalan Apas, pada 30 Ogos 2021 jam 11.12 malam.

Kesalahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda sehingga RM15,000.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 108 (3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan nombor pendaftaran motosikal palsu.

Kesalahan itu boleh dihukum denda sehingga RM20,000 dan penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pegawai pendakwa Asisten Superintendan Joan Lee meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal selepas mengambil kira kepentingan awam serta pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai.

Majistret Dzul Elmy Yunus memberi peluang kepada tertuduh berikutan usianya yang masih muda dan menjatuhkan hukuman 150 jam khidmat masyarakat untuk tempoh dua tahun.

Dia turut dikenakan bon RM2,000 tanpa cagaran dengan ibunya sebagai penjamin, selain lesen memandu digantung selama dua tahun.

 

Sumber: The Borneo Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top