Menteri Nak Lawat Sarawak Kena Maklum Awal – Abang Jo

abang-johari.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

KUCHING: Mana-mana menteri yang berhasrat mengadakan lawatan kerja di Sarawak diminta memaklumkan jadual lawatan itu lebih awal kepada kerajaan negeri.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, selain itu mereka juga perlu memaklumkan setiap projek yang dirancang oleh kementerian masing-masing di Sarawak.

Katanya, ia selaras dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya semua menteri pusat mematuhi protokol kerajaan Sarawak dan bekerjasama dengan pemimpin tempatan dalam pelaksanaan sesuatu projek di negeri itu.

“Pemakluman lebih awal itu juga bagi membolehkan kerajaan Sarawak mengatur dan menyelaras supaya lawatan mereka dapat dijalankan di kawasan yang tepat.

“Pegawai kerajaan Sarawak juga perlu mengetahui tujuan lawatan dan apa projek yang hendak dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di ibu pejabat parti itu di Jalan Bako, di sini, pada Sabtu.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadillah Yusof serta dua Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Abang Johari berkata, mesyuarat itu membincangkan projek Persekutuan bernilai bawah RM50 juta yang dibenarkan kepada kerajaan Sarawak untuk menguruskan keseluruhan pakej projek.

“Banyak projek seperti fasiliti pendidikan dan kesihatan serta infrastruktur jalan raya luar bandar yang bernilai bawah RM50 juta akan kita laksanakan dengan peruntukan sebanyak RM4 bilion daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Menurutnya lagi, mesyuarat itu turut memutuskan PBB akan mengadakan konvensyen khas sempena sambutan 60 tahun Sarawak merdeka.

Konvensyen itu yang akan diadakan di tiga zon iaitu selatan, tengah dan utara bagaimanapun belum ditetapkan tarikh. – HMetro

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top