Menteri MAFI Lawat Gudang Stokpail Negara Zon Sabah

ronald-kiandee.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU:Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee telah mengetuai satu lawatan pemeriksaan ke gudang simpanan beras stok penimbal beras (stokpail) negara hari ini di Telipok, Kota Kinabalu, Sabah.

Lawatan pemeriksaan ini adalah selaras dengan terma Perjanjian Konsesi antara Kerajaan Malaysia dengan Syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) bagi memastikan stokpail beras negara sentiasa mencukupi dan berada dalam keadaan yang baik sepanjang masa. Terdapat 31 gudang stokpail beras di seluruh negara masing-masing di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Perjanjian Konsesi yang ditandatangani pada bulan Disember 2020 yang lalu telah menetapkan 10 obligasi sosial kepada BERNAS yang akan dipantau serta dinilai setiap tahun oleh Kerajaan. Salah satu obligasi sosial utama adalah untuk memelihara, menyelenggara dan mengurus stokpail beras negara dengan mematuhi kesemua garis panduan keselamatan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagaimana ditetapkan oleh Kerajaan.

Lawatan pemeriksaan itu turut disertai Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah Datuk Dr. Jeffrey G. Kitingan, serta Azman Mahmood, Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras.

Menurut Ronald, sebagaimana dipersetujui dalam Perjanjian Konsesi, jumlah simpanan stokpail beras negara juga akan ditingkatkan kepada 290,000 tan metrik secara berperingkat menjelang tahun 2023.

Kos penambahan stokpail beras negara tersebut sebanyak RM250 juta akan ditanggung sepenuhnya oleh BERNAS.

Menjelang akhir tahun ini, BERNAS akan meningkatkan jumlah pegangan stokpail beras negara dari 150,000 tan metrik kepada 200,000 tan metrik.

Ronald juga berkata, lawatan pemeriksaan berkala dibuat dari masa ke semasa di semua lokasi penyimpanan stokpail yang meliputi zon Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Pihak Kementerian akan sentiasa menilai tahap stokpail beras negara dalam menampung sebarang keperluan atau permintaan luar jangka.

Prestasi pengurusan dan penyimpanan stokpail beras negara yang dilaksanakan oleh BERNAS setakat ini telah memenuhi Indeks Pencapaian Prestasi (KPI) obligasi sosial yang ditetapkan oleh Kerajaan.

Industri padi dan beras merupakan industri penting yang menghasilkan makanan ruji utama rakyat Malaysia. Keperluan tahunan beras bagi rakyat Malaysia adalah sebanyak 2.5 juta tan metrik manakala pengeluaran beras negara adalah sekitar 70% daripada keperluan tersebut.

Oleh itu, negara masih mengimport kira-kira 700,000 hingga 900,000 tan metrik beras setiap tahun bagi menampung kekurangan pengeluaran beras dalam negara dan memenuhi permintaan terhadap beras-beras premium dan istimewa.

Pengoperasian industri padi dan beras tempatan adalah tidak terjejas walaupun negara pada ketika ini sedang berdepan dengan pandemik COVID-19. Kerajaan telah meletakkan aktiviti pertanian termasuk aktiviti penanaman padi sebagai perkhidmatan perlu (essential services) bagi memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi dan dapat diperolehi oleh rakyat sepanjang masa.

Kerajaan akan terus memastikan operasi industri padi dan beras serta rantaiannya sentiasa lancar dalam menjamin kelangsungan bekalan makanan ruji negara serta menjamin kecukupan stok beras negara.

Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang akan dilancarkan tidak lama lagi bakal merangkumi antara lain, beberapa strategi utama untuk merealisasikan hala tuju baharu dalam memartabatkan industri padi dan beras negara di samping meningkatkan pendapatan pesawah. Matlamat utama DAN 2.0 adalah untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras ke tahap 80% dalam tempoh pelaksanaan DAN 2.0 dari tahun 2021-2030. Peningkatan produktiviti padi negara akan membantu memastikan kemampanan bekalan padi dan beras dalam negara sekaligus menjamin sekuriti makanan negara untuk jangka panjang.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top