Menteri Dakwa Dedah Budaya Rasuah Di Sebalik Kekecohan Di KLIA

Tiong-King-Sing.jpg

DS Tiong King Sing (Gambar fail)

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing (gambar) tampil menjelaskan isu tular membabitkan dirinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis.

Menurut AWANI, King Sing mengaku dirinya terlibat dalam insiden berkenaan, namun mendakwa kejadian yang tular itu juga secara tidak langsung telah membuka kepada pendedahan amalan gejala rasuah melibatkan pihak berkuasa terhadap seorang pelancong wanita warga China.

“Saya bersyukur, kerana kehadiran saya di KLIA telah membongkar satu peristiwa yang memalukan negara apabila wujudnya budaya rasuah yang dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.

“Benar, daripada gambar tular itu, memang ianya saya dan saya juga berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada ketika itu selepas menerima aduan daripada pelancong, untuk memahami keadaan ketibaan pelancong asing ke Malaysia.

“Ini pemantauan biasa bagi seorang menteri untuk turun padang,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menteri itu menyatakan wujud permasalahan komunikasi meskipun pelancong asing berkenaan mempunyai dokumen lengkap untuk memasuki negara ini.

“Apa yang berlaku sebenarnya ialah beliau ditahan tanpa diberikan alasan atau sebab beliau ditahan.

“Masalah timbul apabila kedua-dua, pihak pegawai imigresen dan pelancong asing tersebut, mempunyai masalah komunikasi.

“Dimaklumkan bahawa pelancong tersebut telah lengkap segala dokumentasi, namun kegagalan komunikasi kedua-dua pihak menggagalkan pihak Imigresen mendapatkan dokumen yang diperlukan daripada pihaknya.

“Inilah sebabnya saya membangkitkan tentang isu komunikasi ini sejak bulan Mac lagi menerusi inisiatif menyediakan penterjemah bagi pelancong-pelancong asing yang dari kawasan Timur Tengah, China dan India di pintu masuk negara yang bertujuan memudahkan urusan dan proses semasa ketibaan pelancongan asing agar kecekapan pengurusan negara kita dapat dijamin dan dipuji.

“Timbul persoalan, kenapa mereka menolak penterjemah yang telah disediakan oleh pihak Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB)?” katanya lagi.

Selain itu, King Sing turut memaklumkan, pihaknya hadir bersama beberapa pegawai integriti di bawah kementeriannya selain menggesa SPRM melakukan operasi besar-besaran di KLIA bagi meneliti realiti sebenar di pintu utama negara.

“Saya turut diberitahu bahawa ada pegawai imigresen yang meminta wang diberikan sekiranya pelancong asing yang ditahan mahu dilepaskan.

“Ada yang minta sehingga RM3,000 untuk dikeluarkan dari tahanan termasuk tiket penerbangan pulang ke negara asal.

“Tambahan RM3,000 pula diminta jika mahu pulang ke negara asal dengan kadar segera menerusi ‘laluan khas’, manakala RM12,000 untuk kos memproses visa.

“Semua maklumat ini akan diserahkan kepada SPRM supaya siasatan dapat dijalankan seterusnya dapat memulihkan imej Malaysia terutamanya di pintu masuk negara,” ujarnya.

Menerusi kenyataan itu, King Sing juga menegaskan akan membawa isu berkenaan ke kabinet selain cadangan untuk memansuhkan ejen yang mengendalikan pelancong asing yang ditolak kemasukan dalam negara.

Pada Khamis, gambar kekecohan itu tular di media sosial yang menyatakan menteri terbabit telah menceroboh masuk ke ruang ketibaan antarabangsa tanpa memiliki pas keselamatan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top