Menara Telekomunikasi Akan Dibina di Pulau Sipadan

menara-komunikasi.jpg
Kongsi Bersama

SEMPORNA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama kerajaan Sabah melalui Taman-Taman Sabah, telah mengenal pasti lokasi bagi pembinaan menara telekomunikasi di Pulau Sipadan, dekat sini.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, pembinaan menara itu dijangka dimulakan sebelum akhir tahun ini dan setelah siap, empat syarikat telelomunikasi Celcom, Maxis, Digi dan U-Mobile, akan menyediakan perkhidmatan di pulau itu.

“Perkhidmatan Internet dengan lingkungan kelajuan 35mbps akan dapat disediakan untuk pelancong dan pos keselamatan di Sipadan,” katanya kepada Bernama di sini, pada Ahad.

Selain kawasan pelancongan, menurutnya berdasarkan pengalaman bertugas sebagai Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), pos keselamatan juga dilihat penting untuk dilengkapkan dengan kemudahan internet.

“Memang penting ada perkhidmatan telekomunikasi disediakan, bagi memudahkan anggota keselamatan supaya mereka boleh berhubung secara terus serta cepat,” katanya.

Sementara itu katanya, SKMM akan turut membina tiga menara telekomunikasi di Pulau Bum Bum serta sebuah di Pulau Pababag di sini, bagi meningkatkan capaian Internet di kawasan berkenaan.

Selain itu, Mohammad berkata, terdapat menara telekomunikasi sedia ada di kawasan pulau di sini, yang boleh ‘ditumpang’ dan perkara berkenaan boleh menjimatkan kos serta masa dalam usaha menyediakan rangkaian telekomunikasi, di kawasan terbabit.

“Berdasarkan pada tinjauan saya, saya perhati ada juga menara-menara sedia ada, menara komersil ada juga menara yang di bawah Angkatan Tentera Malaysia, dan kita akan mengadakan perbincangan dengan mereka mungkin kita boleh ada kolaborasi untuk ‘tumpang’ menara,” katanya lagi. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top