Menanti SOP…

total-lockdown.jpg
Kongsi Bersama

1.Malam tadi kita menerima berita baik dan berita buruk secara serentak. ‘Total lockdown’ akan dilaksanakan di seluruh negara mulai 1 Jun hingga 14 Jun 2021. Baik untuk kesihatan, buruk untuk ekonomi.

2. Sebagai rakyat kita harus terima dengan redha. Harus yakin bahawa kerajaan masih terus berusaha melakukan yang terbaik untuk kita dan ‘total lockdown’ itu adalah satu di antara caranya.

3. Sekarang ini kita ternanti-nanti SOP yang bakal dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung perkara itu. Mungkin hari ini, mungkin esok akan muncullah SOP itu nanti. Dan begitulah cara kita bekerja selama ini, umum dulu, SOP kemudian.

4. Kita cuma berharap apa-apa juga yang dimaktubkan dalam SOP itu nanti benar-benar jelas dan mudah difahami. Ia juga tidak harus lengkap dan tidak mempunyai kerompongan yang akhirnya menyusahkan semua pihak – terutama rakyat.

5. Telah banyak kali terjadi ‘flip-flop’ dalam hal yang berkaitan dengan SOP. Alasan yang diberi; ‘SOP berubah-ubah kerana situasi kes jangkitan tidak tetap.’ PM sendiri yang kata begitu dalam satu wawancara di TV baru-baru ini.

6. Alasan yang boleh diterima tetapi tidak begitu meyakinkan. ‘Flip-flop’ yang disebabkan situasi kes tidak banyak, yang banyak adalah yang disebabkan perancangan dan perincian yang tidak rapi semasa menyediakan SOP tersebut. Ini menyebabkan ada yang bermula sebagai ‘tidak boleh’ bertukar menjadi ‘boleh’ dan sebaliknya disebabkan tekanan serta desakan.

7. Kefahaman terhadap SOP juga perlu ditingkatkan, bukan sahaja kepada rakyat tetapi juga kepada mereka yang diberi kuasa untuk menguatkuasakannya. Banyak kali terjadi mereka yang diberi kuasa itu membuat tafsiran sendiri terhadap sesuatu SOP sehingga akhirnya terjadi ‘lain di sini, lain di sana’.

8. Tentu ramai yang masih ingat, semasa PKP 1.0 dahulu ada yang dikenakan kompaun kerana berada di luar rumah, walaupun dalam kawasan pagar rumahnya sendiri dan ada juga yang disaman kerana tidak memakai pelitup muka waimma semasa bersendirian dalam kenderaan. Kelemahan-kelemahan itu mungkin telah diperbaiki, tapi masih ada kelemahan-kelemahan baharu yang perlu diberi perhatian.

9. Dalam SOP PKPD misalnya ada disebut hanya SATU orang wakil untuk setiap isi rumah sahaja dibenarkan untuk keluar membeli barang keperluan. Ini bermakna hanya seorang sahaja boleh berada dalam sebuah kenderaan pada satu-satu masa. Kawan saya yang tugas hariannya menghantar dan menjemput anak ke tempat kerja bertanya akan hal itu kepada seorang anggota polis. Jawapan yang diterima, memang betul hanya seorang – dan pengecualian diberi jika mendapat kebenaran pihak polis. Kawan saya ke pejabat polis daerah bagi memohon kebenaran, tetapi anggota yang bertugas memberitahu tidak perlu kebenaran jika menaiki kereta dua orang dalam daerah yang sama. Ada percanggahan di situ. Namun sebagai langkah berjaga-jaga kawan saya meminta juga kebenaran bercop dari balai berkenaan.

10. Penguatkuasaan juga harus telus dan tuntas. Jangan  ada darjat-darjat. Istilah kayangan patut dibiarkan mati dan tidak diulang-ulang lagi. Yang besar-besar dan berkedudukan tinggi, jika sedar yang diri terlanggar SOP, cepat-cepatlah ‘serah diri’, jangan sampai viral menjadi bahan pencetus marah dan sakit hati.

 

Oleh: TULUS BUDIMAN


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top